RAKYAT NAK LIHAT ADA MENTERI DIHUKUM



Daripada sekian nama pemimpin kerajaan yang dikesan melanggar pernah arahan PKP dan menjadi viral di media sosial, perlakuan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Nor Azmi Ghazali didapati paling mendapat kecaman dan tidak boleh diterima sama sekali.
Ini kerana dalam mendepani wabak Covid-19 yang setakat ini telah meragut 88 nyawa, ia adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan untuk menanganinya.
Untuk itu, memang tidak masuk akal, malah memalukan apabila Timbalan Menteri Kesihatan sendiri didapati melanggar arahan PKP dengan makan kenduri beramai-ramai secara terbuka yang turut dihadiri oleh seorang Exco Perak di Lenggong.
Apalagi, setiap hari dalam sidang media, sama ada oleh Menteri Kanan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, Ismail Sabri Yaakob atau Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah, kedua-duanya tidak lupa mengingatkan orangramai agar mematuhi arahan PKP dengan duduk di rumah dan tidak berkumpul di tempat terbuka secara beramai-ramai.
Maka, perlakuan Dr. Nor Azmi itu bukan saja tidak dapat diterima, malah mendapat kecaman yang merata daripada semua pihak, tak kita sama ada mereka yang pro kerajaan mahu pun pembangkang.
Berikutan sudah ada laporan polis dibuat terhadap beliau dan pihak polis juga mengatakan akan memanggilnya untuk memberi keterangan, harapan ramai hanya satu iaitu mesti ada keadilan serta tidak wujud undang-undang yang berbeza antara VIP dan rakyat biasa.
Kesalahan yang dilakukan Dr. Nor Azmi adalah jelas dan nyata, untuk itu hukuman yang sewajarnya mesti dikenakan terhadapnya.
Tidak harus ada alasan atau kata maaf untuk diterima daripadanya, tambahan lagi PKP yang sedang dikuatkuasakan sekarang sudah memasuki fasa yang ketiga.
Tiada sebab lagi untuk sesiapa memberi alasan tidak mengetahui mengenai pematuhan terhadap PKP yang sedang dikuatkuasakan.
Lebih daripada itu, sepanjang tempoh PKP ini, kita turut menyaksikan bagaimana sudah ramai rakyat biasa ditangkap, dihukum penjara dan denda kerana melakukan kesalahan seperti bersolat di masjid, bermain golf, memancing ikan, berjogging, berkaraoke di halaman rumah sendiri, bermain badminton, berkenduri dan pelbagai bentuk keengkaran yang lain.
Semua mereka ditangkap, direman, dibawa ke mahkamah dan akhirnya dijatuhkan hukuman tanpa kompromi.
Lalu, apa salahnya berikutan kesalahannya sudah nyata, seorang timbalan menteri ditangkap, dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara?
Tambahan lagi, untuk Dr. Nor Azmi meniru perlakuan pemimpin di negara maju yang cepat-cepat mengakui kesalahan kerana melanggar PKP dan seterusnya meletakkan jawatan mungkin jauh panggang daripada api, hanya ketegasan pihak berkuasa yang tidak berkompromi dalam menjatuhkan hukuman terhadapnya adalah satu-satu jawapannya.
Rakyat pasti gembira jika kerajaan benar-benar membuktikan tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. 

(ShahbudinHusin 18/04/2020)