Hari ini kita memperingati Hari Bumi untuk kali yang ke-50. Tarikh ini diabadikan bagi meningkatkan tahap kesedaran kita tentang alam sekitar.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga memilih untuk memperingati Hari Bumi pada hari yang sama Perjanjian Iklim Paris dikuatkuasakan, iaitu pada 2016.
Malaysia adalah salah satu negara yang menandatangani perjanjian tersebut.
Hari Bumi 2020 diperingati tahun ini dalam keadaan dan situasi yang berbeza dari tahun-tahun sebelum kerana cabaran dan kesan dari kemelut wabak yang telah begitu mengesankan industri-industri, kota-kota, dan ia telah mengurung jutaan warga di rumah.
Jangan kita lupa bahawa ia bukan sahaja kemelut kesihatan tetapi juga kemelut iklim.
Ini adalah peringatan terhadap impak perubahan iklim yang disebabkan dari pembangunan yang tidak terkawal, pertambahan penduduk, dan penghakisan sumber alam.
Kita telah saksikan pemusnahan habitat dan hidupan liar akibat dari kebakaran di merata tempat di seluruh dunia, banjir, dan juga malapetaka lain yang sudah menjadi kebiasaan dan kerap.
Di Malaysia, jerebu dan banjir telah menjadi acara tahunan yang menyebabkan sekolah-sekolah ditutup dan turut mengesankan aktiviti-aktiviti perniagaan.
Kes-kes pencemaran alam sekitar seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim tahun lalu juga telah memberi kesan kepada kesihatan warga.
Kematian Iman, badak sumbu Sumatera baru-baru ini menandakan spesisnya itu telah pupus di Malaysia. Terdapat juga spesis hidupan lain yang kini terus terancam dalam tingkat dan kadar yang cukup mengkhuatirkan.
Komuniti-komuniti orang Asli yang telah sekian lama menjadi penjaga dan pelindung alam sekitar terus menderita sementara pembangunan melampau dan pertimbangan politik menjadi keutamaan.
Malaysia berada di tangga ke 12 sebagai antara negara yang beraneka ragam di dunia menurut Indeks Biodiversiti Negara.
Kita harus belajar dari tragedi-tragedi lalu dan lindungi alam sekitar, hutan-hutan, dan sungai-sungai kita sebelum terlambat.
Generasi muda telah mendepani isu-isu besar terkait kesedaran alam sekitar. Usah kita gagalkan mereka.
Kita tidak sewajarnya meletakkan isu kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar sebagai antara kebijakan yang tidak diberi keutamaan.
Kita dikira gagal jika bertindak hanya setelah sesuatu tragedi berlaku, baik pencemaran alam ataupun malapetaka besar seperti banjir.
Kerjasama antara kita harus ditingkatkan. Saya menyeru kepada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang untuk sama-sama wujudkan kebijakan yang serius ke arah kelestarian dan usaha pemeliharaan untuk menggalakkan teknologi hijau.
Insentif wajar dilorongkan kepada industri-industri dan para pengguna yang komited kepada mengurangkan aktiviti karbon dan mereka yang melanggar undang-undang mesti dikenakan tindakan tegas. Kita harus bersama bertindak dalam memerangi ancaman ini.
ANWAR IBRAHIM
Presiden PKR
22 April 2020.