Apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah berkuasa, pendekatan yang diambil pendekar Melayu-Islam tersebut terhadap nasib pelarian Rohingya dilihat sudah berbeza, selar Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.
Menurutnya, kerajaan Umno-Pas itu bersikap diam membisu terhadap keganasan dan pergolakan yang berlaku di wilayah dihuni masyarakat Islam.
“Kerajaan Pas, Umno yang mengadakan himpunan besar Islam-Melayu di Stadium Titiwangsa dan melancarkan kapal bantuan makanan di Klang untuk membela kaum Rohingya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kini ‘melancarkan’ pulang etnik yang kebuluran itu.
“Kerajaan PN hari ini mengakui bahawa mereka kerajaan ‘Melayu- Islam’ yang terdiri daripada Bersatu, Umno dan Pas.
“Tetapi isu penting melibatkan pembelaan umat Islam Timur Tengah, Rohingya dan juga dunia, mereka diam membisu,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Umno dan Pas dengan dihadiri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah ‘sekapal’ dalam misi bantuan Food Flotilla for Myanmar pada 3 Februari 2017 .
Dalam masa sama, Raja Kamarul turut membidas sikap kerajaan PN berhubung situasi di Palestin di ambang Ramadan ini sejak mengambil alih pentadbiran negara.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu itu berkata, walaupun rakyat Malaysia mula merasai tekanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih sebulan, rakyat Palestin telah mengalami pengalaman itu selama berpuluh tahun di bawah penaklukan tentera Israel.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar Malaysia terus membela nasib rakyat Palestin pada bulan Ramadan yang bakal menjelma, ditambahkan lagi dengan keadaan amat mencabar iaitu penularan wabak Covid-19.
“Semalam, Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan bahawa mereka menyerahkan keputusan untuk memuktamadkan status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kepada kerajaan Israel.
“Kerajaan PN perlu membuat penjelasan tentang hubungan Malaysia dan Israel serta situasi di Palestin itu sendiri.
“Isu penting kemanusiaan kedua yang tidak disentuh kerajaan Malaysia adalah situasi penderitaan rakyat Yaman yang diserang sekutu Arab Saudi.
“Berjuta-juta dilanda kebuluran wabak Kolera akibat perang, dan kini jangkitan wabak Covid-19 serta banjir,” jelasnya.
Selain itu, Raja Kamarul yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempersoalkan peranan barisan jemaah menteri PN yang ada pada hari ini.
“Apa peranan 72 orang Menteri, Timbalan Menteri dan Duta-Duta Khas yang menerima gaji dan kedudukan lumayan hari ini?
“Kalau kerajaan sebelum ini (Pakatan Harapan) dengan hanya 50 Menteri boleh berfungsi lebih berkesan, mengapa kerajaan yang bersungguh-sungguh merebut kuasa, membisu seolah-olah tiada hala tuju?,” soalnya lagi.