P. Pinang negeri kedua terendah kes Covid-19



Langkah awal dan proaktif yang diambil Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini kini sudah mula menampakkan hasil.
Pulau Pinang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang kedua terendah di negara ini, selain mempunyai kadar pemulihan lebih daripada 80 peratus. 
“Kita bertindak lebih awal sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) berlaku pada 18 Mac.
“Dan sekarang, sebelum PKP berakhir, kita juga ingin mengambil tindakan awal untuk memastikan Pulau Pinang bersedia bila buka semula (tamat PKP),” katanya dalam sidang media di Komtar, hari ini. 
P. Pinang manfaatkan teknologi bantu penjaja, peniaga
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri memanfaatkan penggunaan teknologi bagi memudahkan urusan sepanjang tempoh PKP. 
Antaranya, mewujudkan satu laman khas “Penang Lawan Covid-19” dan saluran aplikasi Telegram bagi memudahkan rakyat negeri ini mengetahui perkembangan semasa yang dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang musim Covid-19. 
Malah, dewan bandar raya di Pulau Pinang, katanya, menggunakan Whatsapp dan Google Form bagi mendapatkan data penjaja untuk tujuan penyalaruan bantuan wang tunai. 
Selain itu, katanya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan juga mengalakkan penjaja dan peniaga kecil untuk berjinak-jinak dengan e-dagang sesuai dengan keadaan PKP ketika ini. 
“Sudah tentu, projek ini masih dalam peringkat awal, tetapi saya diberitahu bahawa beberapa penjaja yang mendaftar sebenarnya mencatatkan peningkatan penjualan selama tempoh PKP ini,” katanya. – Roketkini.com
Berikut merupakan tulisan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Pengarah Kempen Lawan Covid-19 Pulau Pinang, Steven Sim berkenaan langkah awal yang diambil kerajaan negeri bagi mengekang penularan wabak Covid-19:
Cara Pulau Pinang tangani Covid-19
Covid-19 adalah pertempuran panjang. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, “ini adalah maraton, bukan lari pecut 100 meter. Kita perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental sehingga penamat.”
Ya, terlalu awal untuk bercakap mengenai pencapaian. Tetapi hakikatnya, pada akhir fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia dari 18 hingga 31 Mac 2020, Pulau Pinang berjaya mengekalkan bilangan pesakit Covid-19 di bawah 100 orang dan berada di tempat ke-10 paling ramai kes positif Covid-19 daripada 13 negeri dan ibu negara Kuala Lumpur.
Bagi negeri yang paling padat penduduknya di Malaysia, ini bukanlah perkara mudah. Kepadatan tinggi bermakna lebih ramai orang berkelompok bersama dan penjarakan sosial menjadi lebih sukar.
Menyedari risiko sebagai negeri yang sangat padat, Pulau Pinang memulakan usaha membendung penyakit ini sedari awal lagi. Menyambung bidalan Ketua Menteri di atas, dalam situasi ini, kita memecut sebelum kiraan ‘3, 2, 1, lari!’
Seawal 5 Mac, apabila Malaysia hanya mengambil maklum dan berjaga-jaga dengan berita gelombang kedua jangkitan Covid-19, Ketua Menteri Pulau Pinang sudah mula membincangkan keadaan ini bersama dengan kami. Pada hari yang sama, kerajaan negeri telah menasihati penganjur untuk membatalkan festival tahunan Jepun, Yosakoi, yang sangat popular yang sepatutnya diadakan di Pulau Pinang empat hari kemudian pada minggu itu.
Menjelang 11 Mac, menjangkakan situasi akan menjadi semakin parah, Ketua Menteri mengeluarkan arahan untuk menghentikan semua acara yang melibatkan perhimpunan awam di negeri ini.
Dua hari kemudian, pada 13 Mac, beliau memberitahu kami untuk membina pasukan komunikasi dan strategi Covid-19.
Pada tengah hari 16 Mac, Ketua Menteri telah melancarkan kempen ‘Pulau Pinang Lawan Covid-19’, dan kami menjadi negeri pertama di Malaysia untuk berbuat demikian. Sebelah malamnya pada hari yang sama, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Strategy tiga ‘P’ dalam Pulau Pinang Lawan Covid-19
Kempen Pulau Pinang boleh diringkaskan menjadi tiga strategi utama:
1) Pengawalan wabak,
2) Penerangan awam
3) Pengurusan impak.
Saya akan menerangkan secara ringkas setiap strategi di bahagian yang berikut.
Pengawalan wabak
Ketua Menteri memimpin pengurusan isu berkaitan Covid-19 di Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri, yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Jawatankuasa ini ibarat war room yang menyelaraskan kerja antara agensi persekutuan dan negeri dalam perkara yang berkaitan dengan Covid-19.
Usaha melawan Covid-19 memerlukan kerjasama semua parti, justeru, Ketua Menteri melantik Ketua Pembangkang negeri, Dato’ Muhamad Yusoff untuk berada dalam jawatankuasa war room beliau.
Dan walaupun dari parti politik yang berbeza, kerajaan negeri Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri yang pertama untuk menyatakan sokongan penuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Kedua-dua majlis bandaraya di Pulau Pinang telah diarahkan untuk menubuhkan Pasukan Gerakan Khas Covid-19 di kawasan masing-masing. Melalui pasukan tersebut, kira-kira 5,000 kakitangan telah digerakkan bagi dua tugas utama, iaitu penguatkuasaan PKP dan kerja-kerja pembersihan serta pembasmian kuman.
Pegawai penguatkuasa PBT bekerja bersama-sama agensi penguatkuasaan undang-undang Persekutuan untuk memastikan pematuhan PKP terutama di tempat-tempat seperti medan selera, pasar dan restoran.
Premis-premis perniagaan dan kilang-kilang yang dibenarkan untuk beroperasi dipantau bagi memastikan langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial dilaksanakan.
Menjelang penghujung peringkat pertama PKP, Pulau Pinang telah mencapai hampir 99% kadar pematuhan.
Satu lagi langkah penting di bawah strategi ini adalah untuk memastikan bahawa barisan hadapan kita, terutama kakitangan perubatan, mempunyai peralatan yang cukup untuk melakukan kerja mereka. Sepanjang peringkat pertama PKP, peralatan pelindungan seperti PPE, topeng muka, perisai muka, pensanitasi (sanitizer), dan peralatan perubatan seperti katil hospital, termometer inframerah telah diagihkan kepada petugas barisan hadapan. Malah kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10 juta untuk menjamin bekalan hospital yang mencukupi sepanjang tempoh PKP dan seterusnya.
Penerangan awam
Sejak awal, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menggunakan strategi komunikasi yang jelas, pantas dan telus. Kami percaya bahawa, hanya dengan maklumat yang tepat, yang disampaikan dengan ringkas dan cepat, barulah orang ramai dapat membantu melawan wabak ini.
Pulau Pinang adalah satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia untuk membangunkan platform khusus untuk menyampaikan maklumat awam. Kempen Pulau Pinang mempunyai laman web, halaman Facebook dengan interaksi yang sangat aktif, saluran Telegram dan talian hotline. Walaupun Kerajaan Persekutuan sudahpun mempunyai saluran komunikasi tersendiri, platform negeri menyediakan kandungan yang lebih bersifat setempat untuk Pulau Pinang.
Bahan saranan dan pendidikan kesedaran dalam bentuk papan iklan, poster dan video dalam bahasa kebangsaan serta bahasa Cina, Tamil dan Inggeris turut disebarkan secara meluas di seluruh negeri.
Ketua Menteri sendiri memberikan maklumat terkini kepada orang ramai setiap hari melalui siaran Facebook Live. Mesejnya sentiasa ringkas, melaporkan keadaan terkini, memaklumkan apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan dan memberi nasihat kepada masyarakat apabila perlu. Oleh sebab usaha yang konsisten, siaran harian ini menjadi sesuatu yang dinantikan setiap hari oleh masyarakat Pulau Pinang untuk mendapatkan perkembangan terbaru mengenai keadaan di negeri ini.
Pengurusan impak
Salah satu ciri kempen Pulau Pinang adalah kerajaan negeri bertindak awal, seperti yang dinyatakan di atas dalam artikel ini. Pasukan kempen membuat perancangan berpandukan analisa senario (scenario analysis), justeru kami berupaya untuk mengambil tindakan sebelum sesuatu senario berlaku.
Contohnya, kami melancarkan kempen ‘Pulau Pinang Lawan Covid-19’ sebelum PKP diumumkan.
Selain itu, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang mengumumkan pakej rangsangan RM20 juta untuk mengurangkan impak sosioekonomi PKP, sehari sebelum PKP bermula. Seminggu kemudian, satu lagi pakej ransangan RM55 juta ditambah kepada pakej asal yang menjadikan keseluruhan pakej berjumlah RM75 juta.
Dan Pulau Pinang adalah negeri pertama mengagihkan bantuan kewangan daripada pakej rangsangan kepada kumpulan sasaran pada 1 April 2020.
Pakej rangsangan yang dinamakan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang mempunyai tiga objektif, iaitu,
1) menyediakan bantuan kewangan segera kepada kumpulan yang paling terkesan seperti penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi dan e-hailing, penarik beca, dan kumpulan B40.
2) membolehkan golongan pekerja kekal berdaya, mengekalkan pekerjaan mereka dan membina semula diri dan keluarga mereka melalui pekerjaan bermaruah.
3) memastikan kelangsungan perniagaan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pulau Pinang.
Walaupun pakej bantuan pertama telah diagihkan, kerajaan negeri telah berjanji untuk mengumumkan bantuan pusingan kedua apabila wujud keperluan kelak.
Pada ketika ini, rancangan sedang dibuat untuk menyediakan negeri menghadapi dunia pasca-PKP dalam masa dua minggu. Kami meneroka kemungkinan senario yang disebut pakar sebagai next normal atau ‘normal baru’. Kerajaan Negeri menjangkakan penyesuaian semula institusi, serta dasar ekonomi dan sosial kita dalam situasi normal baru ini.