Nasib pekerja swasta: Potong gaji atau hilang kerja
Nasib pekerja swasta masih tidak menentu biar pun perintah kawalan pergerakan berakhir. Terdapat majikan yang telah pun menghantar notis kepada para pekerja sama ada memilih potongan gaji sehingga 60% atau hilang pekerjaan.
Menurut tinjauan yang dilakukan The Malaysian Insight, ramai yang menghadapi dilema menakutkan, terutama sekiranya mereka kehilangan pekerjaan yang tentunya hampir mustahil mencari pekerjaan baharu.
“Sukar bayangkan untuk tidak bekerja. Apa sahaja boleh berlaku bila semua ini berakhir, dan saya berkemungkinan hilang kerja,” kata seorang jurutera pesawat yang hanya mahu dikenali sebagai Paul.
Paul yang berusia 30 tahun berkata, ia sama seperti bermula dari bawah sekiranya dia kehilangan pekerjaan.
“Sekiranya ada pemberhentian, saya mungkin perlu jual rumah dan kereta, dan tinggal di rumah ibu bapa saya agar tidak terbeban dari segi kewangan.
“Ini bermakna, semua kerja keras saya selama ini hanya sia-sia,” katanya dan menambah pekerjaan baru di bidang lain mungkin tidak menjana pendapatan sebagaimana yang diperolehnya sekarang.
Pandemik Covid-19 mula memberi kesan dari segi kewangan kepada syarikat dan perniagaan, ada di antaranya yang terpaksa meminta pekerja mengambil cuti tanpa gaji, dan ada yang terpaksa memberhentikan pekerja.
Minggu lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) berkata, kira-kira 2.4 juta akan hilang pekerjaan berikutan kemelesetan ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19 di negara ini.
Sementara tu, seorang pramugari AirAsia X berkata, syarikat itu menawarkan mereka pilihan cuti tanpa gaji sekiranya mereka mahu kekal di rumah ketika tempoh PKP.
Menurutnya, dengan ketiadaan penerbangan, mengambil cuti tanpa gaji bukanlah pilihan yang baik, kerana ia bermakna beliau akan berdepan masalah kewangan.
“Gaji pokok kami tidak tinggi. Kami bergantung kepada elaun tetapi bila tiada penerbangan, kami tidak mendapatnya.
“Kami ditawarkan cuti tanpa gaji tapi ia bermakna kami tidak dapat wang. Kami perlu makan dan ada komitmen.
“Pengumuman kerajaan mengenai moratorium bank hanya membantu pemilik kenderaan dan rumah, bukan mereka yang tinggal di rumah sewa.
“Saya merayu kepada tuan rumah untuk kecualikan bayaran sewa bulan depan,” katanya yang berusia 33 tahun dan tidak mahu identitinya didedahkan.
Baru-baru ini, AirAsia berkata pengurusan dan pegawai kanan AirAsia Group membuat potongan gaji secara sukarela, antara 100% sehingga 15%.
Sementara itu, seorang juruterbang AirAsia yang enggan namanya didedahkan kerana bimbang hilang kerja berkata, pemberhentian mungkin akan berlaku kerana syarikat itu mungkin akan mengambil langkah berkenaan untuk kekal dari segi ekonomi.
Dengan hanya gaji pokok dan potongan elaun sehingga 70%, beliau berkata, ini adalah masa yang sukar dan ramai yang berdepan kemungkinan hilang kerja dalam beberapa bulan akan datang.
“Kini pihak pengurusan dan pegawai kanan membuat potongan gaji. Malah elaun juruterbang pun dipotong sehingga 70%. Memandangkan tiada penerbangan, kami hanya menerima elaun penerbangan minimum dan tiada lagi elaun sektor. Jadi, saya rasa tidak lama lagi mereka akan berhentikan sebahagian daripada kami,” kata juruterbang berkenaan.
Beliau juga berkata, sekiranya syarikat membuat keputusan untuk memberhentikan pekerjanya, terutamanya juruterbang, maka mereka akan berdepan kesukaran untuk mencari pekerjaan lain di sektor yang sama.
“Bayangkan syarikat memberhentikan 300 juruterbang. Kesemua mereka kemudian mula cari kerja di syarikat penerbangan tempatan lain. Syarikat mana yang akan ambil semua? Saya tidak rasa banyak syarikat penerbangan akan berbuat demikian selepas krisis ekonomi.
“Malah syarikat penerbangan antarabangsa pun mahu orang mereka dahulu. Jadi habislah kami,” katanya.