MUHYIDDIN, NAK SIMPAN LAGIKAH MENTERI KESIHATAN YANG MERAPU INI?


Di sebalik wabak Covid-19, berdepan pula kritikan dan kemerosotan sokongan rakyat yang berterusan, paling ke depan akibat karenah Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba yang merapunya kian menjadi-jadi, Muhyiddin Yassin dalam hal ini mesti ada keberanian untuk pantas menanganinya.
Kegagalan bertindak, terus berdiam diri atau membiarkan saja gejala buruk dalam kerajaan berterusan, kerajaan tebuk atap PN ini mungkin lebih cepat runtuh bumbungnya.
Dr. Adham mula menimbulkan masalah kepada kewibawaan kerajaan pimpinan Muhyiddin apabila merapu memberi petua palsu berkenaan air suam yang didakwanya mampu membunuh virus Covid-19 dalam badan manusia.
Petua palsu itu kemudian disanggah oleh WHO, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah dan sebilangan doktor yang berwibawa.
Sejak itu, Dr. Adham seolah-olah kena kuarantin daripada muncul dalam sidang media berkaitan Covid-19, meskipun jumlah kes baru bertambah setiap hari.



Setelah agak lama berdiam diri, tentunya rakyat mengharapkan ia adalah ruang untuk beliau melakukan koreksi diri, tetapi kemunculannya dalam sidang video bersama Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi semalam menyerlahkan hakikat bahawa Dr. Adham masih tidak berubah dan kekal dengan dirinya yang lama.
Dalam sidang video itu, selain menjulang dirinya sendiri melakukan banyak perkara untuk menangani wabak Covid-19 sehingga konon diiktiraf dunia, beliau turut merapu lagi dengan mendakwa keanggotaan WHO di mana beliau melakukan sidang video adalah terdiri daripada 500 negara.
Video merapunya itu segera menjadi viral serta sarat diketawakan netizen alam maya kerana jumlah negara di dunia ini diketahui hanya ada 195 saja.
Oleh itu, daripada mana datangnya 500 negara yang menjadi anggota WHO sebagaimana didakwanya itu atau beliau cuba kelentong Zahid Hamidi untuk menunjukkan berapa besar wibawa dirinya?
Merapunya Dr. Adham dalam ilmu geografi ini sebenarnya bukanlah kali pertama, sebelum ini beliau dengan penuh yakin menyebut jumlah negeri di Malaysia ada sebanyak 15 buah jumlahnya.
Tetapi, yang paling menonjol dalam sidang video itu ialah apabila Dr. Adham cuba merapu menyalahkan PH kerana gagal menyekat perhimpunan Tabligh di Seri Petaling sehingga didakwanya menjadi punca wabak Covid-19 gelombang kedua merebak sebagaimana yang berlaku sekarang ini.
Kata beliau, jika perhimpunan itu tidak diadakan, Malaysia hanya akan berdepan kluster jangkitan Covid-19 yang kecil saja.
Tanpa mengkaji fakta, Dr. Adham dalam hal ini sebenarnya telah menyalahkan Muhyiddin sendiri sebagai punca berseleraknya wabak Covid-19 di negara ini.
Harus beliau sedar bahawa perhimpunan Tabligh berlangsung antara 27 Februari hingga 3 Mac, sedangkan kerajaan PH sudah pun menemui ajalnya apabila Tun Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari.
Selepas meletakkan jawatan dan kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri interim antara 24 Februari hingga 1 Mac, tiada kerajaan dan tiada menteri PH lagi yang mentadbir negara ini.
Dalam tempoh tersebut, Yang Dipertuan Agong sedang melakukan proses temubual kepada semua Ahli Parlimen untuk melantik Perdana Menteri yang baru.
Dengan itu, berlangsungnya perhimpunan Tabligh pada 27 hingga 3 Mac bukan lagi di bawah tanggungjawab atau pemantauan PH kerana mereka bukan lagi kerajaan pada waktu itu.
Kalau mahu dicari pihak yang bertanggungjawab berhubung perhimpunan Tabligh itu tentulah mereka yang meluluskannya iaitu Kementerian Dalam Negeri atau menterinya ketika era PH iaitu Muhyiddin sendiri.
Kenapa Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu membenarkan perhimpunan Tabligh, walhal gelombang pertama Covid-19 belum lagi berakhir sepenuhnya?
Adakah kerana Muhyiddin turut sibuk dengan Langkah Sheraton yang bermula pada 23 Februari dan terlalu mengejar cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri, lalu tidak mempedulikan ancaman wabak penyakit berbahaya ini?
Namun, apakah dengan merapu sehingga menyalahkan perhimpunan tabligh sebagai punca wabak Covid-19 berleluasa, Dr. Adham daripada UMNO sebenarnya cuba meletakkan beban kesalahan kepada Muhyiddin daripada Bersatu yang kini merupakan Perdana Menteri?
Jika diberi lebih masa, Dr. Adham ternampak bukan saja berpotensi untuk terus merapu yang akibatnya akan menjunamkan lagi kedudukan PN di mata rakyat, bahkan secara tidak langsung juga mencalarkan imej Muhyiddin sendiri.
Pertanyaan mudah buat Muhyiddin, mahu disimpan lagikah beban seperti itu dalam kerajaannya? 

(ShahbudinHusin 19/04/2020)