MUHYIDDIN NAK JUMPA ANWAR ATAU ANWAR YANG INGIN BERTEMU MUHYIDDIN?


Petang semalam, melalui laman sosialnya, Presiden PKR, Anwar Ibrahim memaklumkan tentang pertemuannya dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selama kira-kira 45 minit di Putrajaya.
Kata beliau, pertemuan itu membincangkan beberapa perkara, termasuk usaha membendung wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.
Berikut adalah pemakluman Anwar mengenai pertemuan tersebut:-
Pertemuan saya dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berlangsung di Pejabat Perdana Menteri petang tadi.
Dalam pertemuan selama 45 minit itu, beliau jelaskan berkenaan langkah menangani Covid-19 dan saya menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Saya turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan.
Pakej rangsangan yang diumumkan turut disambut baik, namun harus dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi.
Beliau juga menyinggung cadangan sidang Parlimen pada 18 Mei ini dan masalah terkait Covid-19.
Saya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan serta pembangkang, dan akan mengemukakan pandangan kepada beliau.
ANWAR IBRAHIM
14 April 2020.
Ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.
Sebelum ini, Muhyiddin pernah mengutus surat untuk berjumpa dengan Tun Mahathir Mohamad, tetapi bekas Perdana Menteri itu menolak untuk bertemu dengan alasan Presiden Bersatu itu adalah pengkhianat kerana sanggup bekerjasama dengan UMNO.
Persoalan utama di sini, dalam pertemuan semalam itu, Muhyiddin yang mahu berjumpa Anwar atau Anwar yang mahu bertemu Muhyiddin?
Jika Muhyiddin yang ingin berjumpa Anwar, apakah pertemuan itu semata-mata untuk membincangkan hal-hal berkaitan Covid-19 atau Perdana Menteri ada maksud tersirat yang lain?
Apakah melalui pertemuan dengan Anwar itu, Muhyiddin sebenarnya cuba menghantar mesej tertentu kepada UMNO dan Pas yang bersamanya dalam PN dan juga kepada Tun Mahathir yang terus memusuhinya?
Kalau Anwar pula yang meminta untuk berjumpa Muhyiddin, apakah pula tujuannya?
Apakah Anwar juga, melalui pertemuannya dengan Muhyiddin itu, turut ada mesej tertentu yang ingin disampaikannya kepada UMNO, Pas dan juga kepada Tun Mahathir?
Lebih menimbulkan sedikit kehairanan, pertemuan Anwar dengan Muhyiddin itu diadakan hampir serentak dengan kenyataan media Majlis Presiden PH yang menuntut Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen dengan segera bagi merangka pendekatan dwi-partisan untuk memerangi wabak Covid-19.
Majlis Presiden PH berpendapat, langkah tersebut perlu diambil untuk mencari jalan melindungi pekerja dan menyediakan peluang ekonomi bagi mereka yang bakal kehilangan pekerjaan pada waktu terdekat, seterusnya menyelamatkan masa depan negara.
Apa pun, melalui pertemuan dengan Muhyiddin ini, meski Anwar sudah beberapa kali terhalang untuk menjadi Perdana Menteri, beliau tetap merupakan faktor penting dalam negara ini dan sebagai pengimbang kepada sesiapa juga yang berada di puncak kuasa.
Tun Abdullah Badawi sebaik menjadi Perdana Menteri telah melepaskan Anwar daripada penjara bagi meningkatkan sokongan massa terhadapnya dan tindakan itu telah menyebabkan bermulanya permusuhan beliau dengan Tun Mahathir.
Di era Najib Razak berkuasa, Anwar pernah dipenjarakan, tetapi di malam keputusan PRU14 diumumkan di mana BN sedang di ambang kehilangan kuasa, beliau telah menelefon Anwar yang ketika itu berada di hospital untuk meminta bantuan politik daripadanya.
Tun Mahathir ketika ingin menumbangkan Najib dan BN, telah sanggup mencemar duli pergi ke mahkamah untuk berdamai dengan Anwar bagi merealisasikan impiannya, walaupun beliaulah yang memecat dan memenjarakan Presiden PKR itu sebelumnya.
Apakah kali ini Muhyiddin juga memerlukan Anwar untuk kestabilan kuasanya? (ShahbudinHusin 15/04/2020)