Oleh Senator Liew Chin Tong
(Pengarah Pendidikan Politik DAP)
Setara mana pun saya menentang rampasan kuasa politik yang membentuk rejim hari ini, saya seboleh mungkin mahu menjadi bipartisan di waktu kritikal ini bagi memastikan kerajaan membuat keputusan tepat pada musim wabak Covid-19. Jika tidak, akan ada rakyat yang kelaparan dan ketenteraman awam mungkin tergugat.
Ini adalah masanya untuk kerajaan menunjukkan bahawa ia memahami sepenuhnya masalah semasa, dan mereka mempunyai idea yang paling jelas dan berani, terutamanya dalam melaksanakan apa yang mereka kata.
Suka atau tidak, kerajaan adalah pilihan terakhir untuk seluruh rakyat Malaysia. Tidak ada negara lain yang boleh membantu rakyat Malaysia, melainkan kerajaan Malaysia sahaja, dan pastinya dengan bantuan rakyat Malaysia juga.
Ini merupakan sebuah krisis global, maka masalah ini tidak boleh dieksport keluar sepertimana yang kita lakukan selepas Krisis Kewangan Asia pada akhir 90’an.
Tidak ada sesiapa, China mahupun Amerika Syarikat, yang memiliki kemampuan dasar untuk membantu Malaysia. Tidak ada dana swasta atau badan kebajikan yang cukup besar untuk membantu dan mengalas sengsara jutaan rakyat Malaysia untuk entah berapa lama lagi.
Waktu yang luar biasa ini memerlukan tindakan yang juga luar biasa. Kerajaan mesti memimpin dan bersedia untuk berfikir di luar kotak kebiasaan. Tindakan-tindakan yang berani perlu dilaksanakan segera, dengan daya imaginasi dan kreativiti.
1) Tambah peruntukan belanja kesihatan
Kita sedang berdepan krisis kesihatan yang belum pernah kita hadapi selama ini namun kerajaan belum cukup memperlihatkan semangat yang mencukupi dalam melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk berbelanja semaksimum mungkin dengan sepantas mungkin untuk mendapatkan peralatan saringan, pakaian pelindung diri (PPE), alat bantu pernafasan, dan lain-lain lagi. Kementerian Kesihatan diberi peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam pakej rangsangan yang diumumkan baru-baru ini, tetapi itu masih tidak mencukupi.
Lebih banyak dana perlu dikhaskan untuk perbelanjaan kesihatan dalam minggu-minggu dan bulan-bulan seterusnya bagi menambah kapasiti hospital dan unit rawatan rapi, serta memastikan ketersediaan bekalan perubatan, seperti topeng muka untuk orang ramai.
Kemudiannya nanti, dengan berfikir jauh, kita wajar memperluas dan memperkukuh sistem kesihatan untuk melawan krisis semasa dan akan datang apabila permintaan masyarakat terhadap keperluan kesihatan kian meningkat, terutamanya apabila masyarakat kian bertambah tua.
2) Menaikkan defisit ke tahap ‘waktu perang’
Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa ini adalah waktu perang. Ini bererti peraturan belanja berhemat tidak lagi terpakai. Saya boleh merasakan bahawa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan kerajaan secara amnya masih berfikir menggunakan kerangka waktu aman.
Pakej Rangsangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac didakwa telah menyuntik sebanyak RM250 bilion untuk ekonomi negara tetapi angka perbelanjaan fiskal sebenar hanyalah RM25 bilion. Menurut Menteri Kewangan, suntikan fiskal sebanyak RM25 bilion dicapai dengan memotong dana kepada beberapa kementerian dan menetapkan defisit pada 4% berbanding KDNK pada tahun 2020 (berbanding 3.2% seperti yang dirancang).
Bayaran tunai kepada rakyat Malaysia dalam kategori B40 dan M40 hanya mencukupi untuk mereka bertahan sehingga penghujung bulan April dan Mei sahaja. Sebaik sahaja pakej itu diumumkan, para pengusaha dan peniaga menyatakan rasa tidak puas hati kerana mereka melihat tidak ada bantuan fiskal yang mencukupi. Jaminan pinjaman yang ditawarkan tidak relevan kepada perniagaan mereka, memandangkan mereka tidak banyak meminjam, dan melihat keadaan sekarang, mereka pastinya kurang keyakinan untuk membuat pinjaman baharu pada masa akan datang.
Jika kerajaan mengekalkan nisbah 4% untuk nisbah defisit KDNK, tidak ada ruang untuk bantuan wang tunai selepas bulan April dan Mei, dan tidak ada ruang juga untuk sebarang bantuan gaji atau sebarang bentuk bantuan fiskal lain kepada perniagaan-perniagaan ini.
Kerajaan tidak perlu terlalu terikat dengan pandangan agensi penarafan. Agensi-agensi tersebut kini sangat tertumpu kepada sejauh mana ekonomi dunia akan meleset dan untuk berapa lama, bukan dengan angka defisit. Tidak ada salahnya untuk melihat defisit ketika ini meningkat sehingga 10% kepada KDNK sekalipun. Malah sebenarnya, KDNK nampaknya akan menyusut. Maka usaha untuk mengekalkan nisbah defisit yang kecil adalah sia-sia.
Tentu sekali, perbelanjaan haruslah dinyatakan dan dilaksanakan secara telus. Tidak ada ruang untuk ketirisan dan rasuah. Walaupun di tengah krisis yang dahsyat ini, kita mesti sentiasa waspada dan berlaku jujur.
3) Wang kecemasan dan langkah yang lebih berani oleh Bank Negara
Sudah tiba masanya untuk Bank Negara mengkaji pelaksanaan wang kecemasan (helicopter money) – meletakkan wang terus ke poket orang ramai – dengan menghasilkan lebih banyak wang tunai (base money) dan menyuntikkannya terus ke dalam ekonomi. Bank Negara tidak boleh bersikap konservatif dalam krisis sebesar ini. Ia mesti bersedia untuk campur tangan dengan lebih berani, bukan sahaja untuk menangani kejutan ekonomi dalam masa terdekat tetapi juga untuk menetapkan semula jangkaan pengeluar serta pengguna dan mencegah kejutan semasa daripada menjadi krisis yang berpanjangan.
Satu langkah berani seperti wang kecemasan jelas akan memberi isyarat bahawa kerajaan dan BNM bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi mengelakkan keruntuhan ekonomi menyeluruh, dan dengan itu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap arah tuju ekonomi masa depan.
Penangguhan bayaran balik pinjaman selama setengah tahun adalah satu langkah yang tepat, tetapi Bank Negara memberi gambaran bahawa ia hanya bersedia untuk bergantung kepada operasi secara konvensional pasaran terbuka. Bank perlu diminta untuk menyerap pembayaran faedah dalam tempoh ini. Bank-bank perlu menanggung risiko untuk keputusan pinjaman yang mereka buat dan mengambil beberapa potongan, dan peminjam tidak wajar menanggung semua beban.
Namun, kita perlu berhati-hati. Sebarang suntikan wang kecemasan tidak boleh mengalir ke sektor hartanah, contohnya. Rangsangan kewangan perlu direka untuk meminimumkan risiko menghasilkan satu lagi gelembung hartanah dan juga tahap hutang yang lebih tinggi, seperti yang berlaku selepas Krisis Kewangan Global pada tahun 2008.
4) Dahulukan pekerja Malaysia
Siapa yang sepatutnya mendapat bantuan daripada dana awam?
Kerajaan harus membantu para peniaga dan pengusaha untuk menyelesaikan sebahagian daripada tanggungan gaji mereka untuk kekal stabil. Kita namakan ini sebagai “fasa mengawal kebakaran”. Tetapi fasa ini tidak boleh terlalu lama.
Objektif utama memberi bantuan ini adalah untuk memelihara pekerjaan rakyat Malaysia.
Berjuta-juta orang di Malaysia akan kehilangan pekerjaan mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Puluhan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan di seluruh dunia mungkin kehilangan pekerjaan dan akan kembali ke Malaysia. Kerajaan mesti mampu memberi pendapatan kepada mereka dan keluarga mereka, serta mewujudkan pekerjaan untuk mereka.
Selepas fasa ini, apa-apa bantuan upah hanya boleh diberikan kepada rakyat Malaysia. Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia mendapat pekerjaan.
Para peniaga dan pengusaha harus dibenarkan untuk memecat pekerja asing tetapi dengan mematuhi beberapa tuntutan undang-undang untuk memastikan makanan dan penginapan mereka dijamin sehingga tiba waktu selamat untuk mereka kembali ke negara asal. Inilah masa yang tepat untuk beralih daripada kebergantungan terhadap pekerja asing.
5) Menyusun semula keutamaan GLC dan GLIC serta mengetengahkan dasar perindustrian
Kita harus mengambil peluang bagi membangunkan industri bekalan perubatan yang lebih besar. Kita juga patut melaburkan dana awam dalam usaha membina penyelidikan perubatan yang lebih kukuh. Kita juga sepatutnya dapat mewujudkan beberapa peluang pekerjaan baharu daripada krisis ini, sebagai contoh melatih semula anak-anak kapal syarikat penerbangan bagi membantu sektor kesihatan selama setahun atau lebih.
Tetapi untuk berbuat demikian, kita perlu melibatkan pihak-pihak dengan kemampuan besar, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Selama ini, GLC selalunya bertindak seolah-olah mereka adalah entiti swasta yang membuat keuntungan semata-mata. GLC banyak yang bersikap seperti pemaju swasta yang mementingkan keuntungan besar dan bukannya membina perumahan awam yang sesuai untuk rakyat kelas pertengahan, atau menanam kelapa sawit dengan mengorbankan jaminan bekalan makanan, atau membina hospital swasta yang memiliki 70% doktor dan sumber perubatan tetapi hanya merawat 30% pesakit, atau menjual kereta dan bukannya menyediakan pengangkutan awam.
GLIC tertumpu kepada kerja-kerja menjana dividen untuk para penyumbangnya, tetapi kerajaan harus menyelaraskan pelaburan mereka dengan suatu strategi nasional. Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaburkan 30% dana di luar negara kerana hasilnya lebih tinggi.
Ya, KWSP sedang melaksanakan mandatnya. Tetapi kerajaan perlu melakukan segala termampu untuk mengekalkan dana di dalam negara. Apa gunanya memberi insentif besar kepada pelabur asing sedangkan kita sebenarnya tidak kekurangan dana?
Peranan kerajaan dalam ekonomi perlu diperjelaskan: untuk melakukan lebih banyak dalam sektor kesihatan bagi memerangi wabak, mewujudkan pekerjaan dan membantu rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan mereka, mewujudkan industri baru melalui dasar perindustrian yang kukuh serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk mempersiapkan Malaysia untuk berdepan kitaran akan datang.
GLC dan GLIC perlu menyusun semula keutamaan mereka. Mereka mesti berhenti berpura-pura seolah-olah mereka adalah syarikat swasta yang bersaing untuk mendapatkan wang dari kelas menengah Malaysia atau dari aset-aset hartanah yang mereka miliki.
Peranan GLC adalah untuk melakukan apa yang sektor swasta tidak boleh lakukan sendiri, seperti penyelidikan dan pembangunan teknologi pertahanan atau kesihatan. GLIC perlu diberitahu secara jelas supaya melabur di Malaysia bagi mewujudkan sektor-sektor baharu yang akan menjana peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.
Keuntungan bukanlah matlamat utama. Matlamat ekonomi sosial keseluruhan harus diberi keutamaan. Sudah tentu, semua ini harus berlaku secara telus, tanpa pihak ketiga yang mengambil untung atas angin, tanpa bahaya moral dan tanpa konflik kepentingan.
Rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang mempunyai kesedaran penuh, peka dan cergas dalam memimpin negara demi menyediakan jaring keselamatan untuk seluruh rakyat Malaysia, serta mewujudkan industri baharu supaya peluang pekerjaan baharu dapat dicipta.