Kluster Tabligh: KDN, Menteri Luar perlu bertanggungjawab
Kementerian Kesihatan tidak boleh dipersalahkan berikutan penyebaran wabak Covid 19 pada perhimpunan Tabligh di Sri Petaling hujung Februari lalu.
Menurut bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye ketika itu Covid 19 tiada jangkitan dalam kalangan warga tempatan dan hanya daripada warga asing.
Katanya, untuk menyekat perhimpunan itu memerlukan tindakan daripada Kementerian Dalam Negeri membatalkan himpunan dan Kementerian Luar Negeri menyekat peserta yang dijangkiti daripada masuk ke Malaysia.
Lee membidas kenyataan Najib balas bekas PM Najib kepada Dr Dzulkefly, yang merupakan bekas menteri kesihatan, dengan merujuk laporan berita bertarikh 12 Februari yang menyaksikan Dr Dzul menolak keperluan untuk menangguhkan perhimpunan besar walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan langkah itu.
Menurut Lee, terdapat perbezaan antara perhimpunan besar dalam kalangan komuniti tempatan dengan persidangan dengan orang yang berasal dari kawasan yang dijangkiti.
“Pada waktu itu tidak ada jangkitan dalam kalangan komuniti tempatan. Ini kita tahu kerana Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemantauan, jadi perhimpunan awam dalam kalangan rakyat Malaysia tiada masalah.
“Kita (KKM) tidak tahu adanya peserta dari luar negara yang menyertai himpunan itu. Jika tidak, kita pasti menghalangnya.
“Kita hanya tahu mengenai acara itu (dan peserta asing) selepas Brunei merekodkan kes Covid-19 yang pertama,” katanya dipetik FMT.
Lee berkata, sekiranya isu itu dibangkitkan sekarang, maka ia harus dilakukan dalam mesyuarat Kabinet yang melibatkan Muhyiddin dan juga Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
“Kenapa mereka benarkan individu dari negara dijangkiti masuk ke negara ini?”
Beliau berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak diperlukan sewaktu pentadbiran lepas menangani virus tersebut kerana tidak berlakunya jangkitan tempatan, selain kes import ketika itu mudah dikesan, diasingkan dan dirawat.
Sebaliknya oleh sebab jangkitan tempatan telah berlaku, maka PKP diperlukan.