Kenapa Muhyiddin takut adakan sidang Parlimen Online?

Kenapa Muhyiddin takut adakan sidang Parlimen Online?
"Sungguh memalukan apabila semalam, Parlimen UK juga mengadakan pertemuan "maya" selama 100 minit untuk membuat pemerhatian ke atas pengendalian kes covid, namun tidak seperti Malaysia yang tidak berani mengadakan mesyuarat khas atas isu yang sama," kata MP DAP dalam satu kenyataan hari ini.



Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa begitu ‘takut’ untuk mengadakan sidang Parlimen Khas atas talian mengenai Covid-19 tatkala Malaysia menangani wabak berkenaan lebih baik daripada United Kingdom (UK).
LIM KIT SIANG
Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ketika ini UK mencatat 24 kali ganda kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 133,495 kes dan 195 kali ganda kematian sebanyak 18,100 kes berbanding Malaysia.
Beliau turut melahirkan tanda tanya, adakah Malaysia mengalami kemunduran teknologi sehinggakan negara Asia terkecil, Maldives dengan jumlah penduduk seramai 538,000 orang, mampu menjadi negara pertama di dunia yang mengadakan sesi parlimen atas talian dengan 87 anggota Parlimen.
“… atau kerana Malaysia sememangnya tidak demokratik dan tidak layak memiliki sistem demokrasi berparlimen sebagaimana yang diwariskan oleh bapa pengasas negara, berdasarkan pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Malaysia?
“Sungguh memalukan apabila semalam, Parlimen UK juga mengadakan pertemuan “maya” selama 100 minit untuk membuat pemerhatian ke atas pengendalian kes covid, namun tidak seperti Malaysia yang tidak berani mengadakan mesyuarat khas atas isu yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada semalam, Dewan Rakyat UK mengadakan mesyuarat ‘maya’ rasmi yang pertama merangkumi sesi pertanyaan Perdana Menteri selama 45 minit, kenyataan Menteri selama sepuluh minit oleh Setiausaha Negara untuk Penjagaan Kesihatan dan Sosial, Matt Hancock dan sesi soal jawab selama 45 minit.
Sementara itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dalam demokrasi berparlimen yang menegakkan pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang, pemeriksaan parlimen adalah asas terutama dalam krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti pandemik Covid-19.
Beliau berkata, permasalahan rakyat dapat diatasi dan diselesaikan dalam sidang Parlimen khas itu kelak, termasuklah isu elaun khas untuk petugas kesihatan barisan hadapan, kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE), dan diskriminasi dalam pengedaran hamper bantuan makanan terutama bagi kawasan yang dikuasai pembangkang.
Perkara lain harus dibincangkan juga antaranya mempertingkatkan kawalan PKP di sesetengah kawasan, sikap berat sebelah kerajaan dalam mengenakan PKP, dan juga nasib kumpulan tidak berkemampuan yang ketinggalan di belakang.
Justeru menurut Penasihat DAP itu lagi, masih belum terlambat untuk Perdana Menteri mengadakan mesyuarat parlimen khas mengenai krisis Covid-19 sebelum berakhirnya April ini.