KE SANA KE SINI, LANTIK SANA LANTIK SINI, KENAPA MUHYIDDIN MASIH PENAKUT LAGI?


Sudah sah sekarang sidang Parlimen pada 18 Mei depan hanya akan dilangsungkan selama sehari saja, tidak sekurang-kurangnya dua hari sebagaimana yang diminta oleh PH.

Dalam surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen bertarikh 17 April 2020, diberitahu bahawa sidang selama sehari itu akan merangkumi:-

⁃ Istiadat Perasmian Parlimen oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada jam 10.00 pagi dan,

⁃ Mesyuarat Dewan Rakyat selama satu hari selepas saja keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Seterusnya, dimaklumkan bahawa susulan perintah PKP yang sedang dilaksanakan, persidangan Dewan Rakyat hanya akan membincangkan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan Kerajaan sahaja serta tiada sessi soal jawab, tiada pertanyaan dan tiada sebarang usul akan dibenarkan.

Apakah makna semua semua ini?

Ini bermakna, sidang Parlimen pada 18 Mei itu bukan saja tidak dibuka ruang untuk Ahli-Ahli Parlimen membincangkan isu-isu berkaitan Covid-19, khususnya tentang pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan, malah yang lebih penting tentulah menutup peluang untuk usul tidak percaya dikemukakan kepada Muhyiddin Yassin.

Untuk makluman, sidang Parlimen pada 18 Mei ini adalah penangguhan daripada sidang yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac lalu.

Oleh kerana Muhyiddin baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu dan beliau masih ada keraguan berkenaan sokongan majoriti yang dimilikinya, maka beliau telah menangguhkannya kepada 18 Mei.

Tetapi, mengapakah sidang pada pada 18 Mei nanti hanya diadakan selama sehari saja tanpa sebarang sessi soal jawab, pertanyaan dan mengemukakan usul dibenarkan?

Kalau pun Muhyiddin begitu bimbang dengan usul undi tidak percaya yang bakal dikemukakan oleh PH kepadanya, mengapa pula sessi soal jawab dan pertanyaan turut tidak diizinkan?

Tiada penerangan foto disediakan.

Imej mungkin mengandungi: teks


Apa yang beliau takutkan?

Apakah Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang hanya berani muncul melalui perutusan khas di kaca tv dengan bercakap tentang Makcik Kiah secara sehala dan di depan kamera saja?

Jika benar kerajaan tebuk atap yang dipimpinnya benar-benar telus dan ada kewibawaan, kenapa mesti takut untuk berhujah dan bersoal jawab, lebih-lebih lagi berkaitan Covid-19?

Begitu juga dengan kedudukan kerajaan yang dipimpinnya sekarang, Muhyiddin seharusnya berani menunjukkan kepada dunia tentang sokongan majoriti yang diperolehinya dengan tidak gentar sama sekali terhadap usul tidak percaya yang mahu dikemukakan terhadapnya.

Bukankah seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan bahawa semua Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tiada jawatan menteri dan timbalan menteri akan dilantik menjadi pengerusi-pengerusi GLC?

Sehingga ini, sebagaimana dilaporkan media, hampir setiap hari ada perlantikan baru pengerusi GLC melibatkan Ahli-Ahli Parlimen dan sudah pasti ia akan berterusan sehingga tarikh sidang Parlimen 18 Mei depan.

Apakah dengan habuan dan imbuhan berpuluh ribu setiap bulan kepada Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan itu masih belum cukup memberi keberanian kepada Muhyiddin untuk membuktikan sokongan yang ada padanya?

Ke sana ke sini, lantik sana lantik sini, tetapi kenapa masih jadi penakut lagi?

Sampai bila Muhyiddin mahu melarikan diri dan takut berdepan realiti? 

(ShahbudinHusin 18/04/2020)