Gabungan ‘tidak selesa Umno-Bersatu’ berakhir PRU 15?
Meskipun dilihat kukuh namun kerajaan Melayu Perikatan Nasional bergolak dengan parti-parti utama, Umno dan Bersatu berebut untuk menguasai kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, Umno yang pernah memerintah selama 61 tahun tidak akan membiarkan Bersatu mendominasi kerajaan PN. Malah gabungan itu dijangka hanya bertahan sehingga pilihan raya umum ke 15
Dalam satu kenyataan medianya, Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu berkata kerjasama politik dalam apa jua bentuk akan berakhir sebaik sahaja parlimen dibubarkan.
“Yang paling penting, dari segi strategi politik, pemimpin Umno perlu sedar bahawa matlamat utama Bersatu adalah untuk menggantikan Umno dalam arena politik sebagai parti Melayu paling dominan dalam kerajaan.
“Hanya dengan cara ini Bersatu dapat bertahan selepas PRU15, dan Umno menyedarinya,” kata Ong
Menurutnya, Umno tidak biasa menjadi parti nombor dua dalam kerajaan, apatah lagi ia mempunyai 41 ahli Parlimen, sedangkan Bersatu hanya 29.
Tetapi, lebih ramai menteri dan timbalan menteri dari Bersatu berbanding Umno, tambah bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.
Malah kebanyakan kementerian utama – pendidikan, dalam negeri, ekonomi, perdagangan antarabangsa dan industri – dipegang oleh ahli Parlimen Bersatu atau sekutu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ong berkata Umno juga buat pertama kalinya presiden, timbalan presiden dan dua naib presidennya tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.
Hanya Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai menteri pertahanan dan salah seorang daripada empat menteri kanan.