Sudah lebih dari sebulan sejak Kabinet Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah pada 10 Mac 2020. Setiap parti politik dalam gabungan ini menghadapi cabaran politik unik mereka tersendiri sebagai sebahagian daripada kerajaan memerintah. Namun begitu, tidak ada parti yang menghadapi persoalan dan cabaran yang lebih besar berbanding UMNO kerana parti itu ‘bergelut’ dengan persoalan bagaimana mahu bekerjasama dengan BERSATU. Ini adalah dilema terbesar UMNO dalam kerajaan PN.
Biar saya nyatakan sesuatu dahulu mengenai perkara ini – pemimpin dan ahli UMNO lebih suka berada dalam kerajaan bersama BERSATU berbanding berada dalam pembangkang. Dalam kerajaan, UMNO mempunyai akses kepada keistimewaan-keistimewaan termasuk jawatan di Kementerian, Agensi Kerajaan dan GLC. Walau bagaimanapun, tidak ada apa-apa tentang pengaturan dalam pemerintahan PN sekarang ini yang akan diterima oleh UMNO untuk jangka masa panjang. Yang paling penting, dari perspektif strategi politik, pemimpin UMNO mesti menyedari bahawa matlamat utama BERSATU adalah untuk menggantikan UMNO dalam arena politik sebagai parti Melayu yang dominan dalam kerajaan. Inilah satu-satunya cara agar BERSATU dapat bertahan pasca PRU15. UMNO mengetahui perkara ini.
Selepas memerintah negara lebih 60 tahun, UMNO tidak biasa memainkan peranan sebagai parti nombor dua dalam kerajaan. Tetapi hari ini, mereka berada di kedudukan tersebut. UMNO merupakan komponen terbesar dalam PN dengan 41 orang Anggota Parlimen (MP) berbanding BERSATU yang hanya mempunyai 29 MP (ini termasuk 10 MP dari PKR tetapi tidak termasuk 5 MP yang menyokong Tun M). Namun, BERSATU nampaknya mempunyai lebih ramai Menteri (11 orang termasuk PM berbanding hanya 9 orang dari UMNO) dan Timbalan Menteri (15 orang berbanding 8 orang dari UMNO) daripada UMNO. Bukan itu sahaja, sebahagian besar Kementerian penting juga di bawah tanggungjawab MP BERSATU iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau individu yang bersekutu dengan Perdana Menteri (seperti Kementerian Kewangan). Manakala UMNO pula hanya mengetuai satu kementerian penting iaitu Kementerian Pertahanan. Selain itu, perbezaan ketara dapat dilihat apabila dua orang daripada empat Menteri Kanan datangnya daripada BERSATU manakala UMNO hanya mempunyai seorang wakil sebagai Menteri Kanan.
UMNO di dalam gabungan PN juga mencatat sejarah apabila Presiden, Timbalan Presiden, dan dua Naib Presidennya tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan. Perkara ini semestinya tidak pernah berlaku sebelum ini. Hanya Ismail Sabri seorang Naib Presiden UMNO berada dalam kerajaan PN. Seterusnya, MP UMNO yang merupakan anggota Majlis Tertinggi juga dilihat tidak diberikan sebarang jawatan tetapi MP UMNO yang lain pula yang dijadikan Menteri. UMNO Sabah juga langsung tidak diberikan jawatan Kabinet demi untuk memastikan jawatan dapat diberikan kepada MP BERSATU yang telah meninggalkan UMNO dan PKR.
Situasi ini bukanlah sesuatu yang wajar disokong oleh kepimpinan UMNO. Inilah sebabnya kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden UMNO pada 12 Mac 2020, setelah mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, merangkumi banyak syarat-syarat dalam sokongan kepada pemerintahan Muhyiddin Yassin. Tidak disebutkan juga sebarang usaha untuk memperkuatkan PN sebagai gabungan pemerintah. Sebaliknya, presiden UMNO menyatakan usaha untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) dan bagi membina keutuhan Barisan Nasional (BN). Yang paling penting, pernyataan itu berakhir dengan komitmen untuk menyokong kerajaan baru hanya sehingga pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Segala bentuk kerjasama antara BERSATU dan UMNO berkemungkinan akan ditamatkan begitu sahaja sebaik parlimen dibubarkan. Sukar untuk melihat bagaimana UMNO dan BERSATU boleh bersetuju dengan sebarang formula pembahagian kerusi. UMNO dan PAS menghadapi cabaran dalam memperuntukkan 100 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia di mana kedua-dua parti itu bertanding dalam PRU14 di bawah formula Muafakat Nasional (MN) pada PRU15. UMNO, PAS dan BERSATU bertanding di 47 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU14. Ini termasuk kerusi seperti Titiwangsa (di mana Rina Harun dari BERSATU, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengalahkan Johari Abdul Ghani, mantan Menteri Kewangan II dan yang masih memegang jawatan ketua UMNO di Wilayah Persekutuan) dan Ketereh (di mana kini Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa dari UMNO mengalahkan Menteri Pendidikan sekarang, Mohd Radzi bin Jidin dari BERSATU yang kemudiannya dilantik sebagai Senator).
Sebanyak 47 kerusi Parlimen itu juga merangkumi kerusi yang menampilkan Ahli Parlimen UMNO yang kemudiannya keluar parti dan memasuki BERSATU selepas PRU14 seperti Jeli (Mustapha Mohamed, yang kini menjadi Menteri di Pejabat Perdana Menteri), Larut (Hamzah bin Zainuddin, Menteri Dalam Negeri ketika ini), Mersing (Abdul Latiff bin Ahmad, Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika ini) dan Masjid Tanah (Mas Ermieyati binti Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan kini). Sukar untuk dibayangkan UMNO berasa positif mengenai pembelot-belot ini apatah lagi berunding dengan BERSATU untuk membolehkan ahli Parlimen BERSATU ini terus bertanding di kerusi-kerusi ini dengan sokongan UMNO dan PAS.
Di samping itu, Kabinet yang ada sekarang juga menampilkan bekas Ahli Parlimen PKR yang bergabung dengan BERSATU yang mana kerusi yang ditandingi mereka sebelum ini turut ditandingi oleh UMNO dan PAS pada PRU14 termasuk Gombak (Azmin Ali), Indera Mahkota (Saifuddin Abdullah), Bandar Tun Razak (Kamaruddin Jaafar), Batu Pahat (Mohd Rashid bin Hasnon) dan Nibong Tebal (Mansor bin Othman). Sekali lagi, sukar untuk melihat UMNO atau PAS memberi laluan kepada Ahli Parlimen BERSATU ini pada PRU15.
UMNO telah membuktikan bahawa ia dapat mengalahkan BERSATU sebagai parti pembangkang di peringkat negeri dan persekutuan masing-masing dalam pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai dan Kimanis di Johor dan Sabah. Dengan sokongan akar umbi yang utuh dan dengan terus membina hubungannya dengan PAS, tidak perlu UMNO (dan PAS) membuat konsesi atau bekerjasama dengan BERSATU pada PRU15.
Mengetahui hal ini, apakah kemungkinan respon BERSATU dalam jangka pendek (tahun depan) dan apabila mendekati PRU15? Dan apakah mungkin strategi UMNO? Perkara ini akan dibahas dalam Bahagian 2.