DIA TERSALAH MENYIAR, DIA TELAH MENARIK BALIK DAN MEMOHON MAAF, APA MASALAHNYA?



Apakah mengakui meminum air suam boleh membunuh virus corona itu bukan "cerita palsu"? Apakah titah sang guru yang konon dianggap mursyid bagi parti berbulan mengambang berlatar langit pelik berwarna hijau bahawa, "berlaku usaha dalaman untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh DAP, PKR dan AMANAH bagi mengetepikan Tun Mahathir, dengan sokongan Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason" itu bukan satu cerita palsu? Padahal kedudukan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan pada satu ketika bukanlah "usaha dalaman" yang tersembunyi, ia adalah satu konsensus terangan yang dipersetujui bersama melalui konvensyen. Bukankah Dr. Mahathir bin Mohamad sendiri mengesahkan awalnya dia Perdana Menteri untuk dua tahun sahaja, kemudiannya dua tahun setengah kalau Anwar setuju, kemudiannya tiga tahun, kemudiannya sampai ekonomi pulih, kemudiannya terpulang kepada Dewan Rakyat? Kalau yang asalnya yang dua tahun itu yang benar, bukanlah yang kemudiannya semua cerita palsu?

Cukuplah tiga contoh. Fuziah Salleh meminta maaf, tetapi apakah orang macam DR ADHAM BABA, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf akan penyebaran cerita-cerita palsu mereka ini?

Saya lihat, hantaran yang dibuat Kak G @ Fuziah Salleh itu tidaklah setular mana, saya sendiri tidak sempat melihat di laman fb Kak G. Yang menjadi tular ialah tangkap layar yang dijaja oleh pemilik-pemilik fb tertentu dengan kepentingan-kepentingan tertentu, mengulas dengan sindiran dan bahasa "rasa bagus," kononnya aku tidak akan buat begini, aku tak akan sebar berita palsu. Padahal sebahagian mereka memang dikenal sebagai kaki tular yang berita entah dari mana.

Seorang yang saya perasan adalah Che GuBard, yang kebelakangan ini sangat galak menidakkan apa yang telah dan sedang dibuat oleh Pakatan Harapan, khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat, parti lamanya. Saya kenal dia sejak 1999. Masa dia terbuang dari parti dan aktif dengan SAMM, kalau dia ada program di Kuantan, saya akan pergi berjumpanya, bertanya khabar akan kehidupannya. Saya tahu dia bersaudara dengan Anwar Ibrahim, ( TIADA KAITAN KECUALI BERKAHWIN DENGAN ANAK SEPUPU ANWAR DAN KINI BERKAHWIN LAIN)  mungkin ada perselisihan peribadi yang buat dia kecil hati dengan Anwar. Tetapi itu tidak sepatutnya mengganggu pertimbangan warasnya, tidak sepatutnya menghalalkan dia untuk memburukkan segala apa yang dia dengar tentang Parti Keadilan Rakyat. Dalam pada dia mewar-warkan kesalahan tidak sengaja Kak G menyiarkan berita palsu, masa yang sama dia menyiarkan siri tangkap layar yang dipos ke WhatsApp kononnya Keadilan menawarkan insentif wang untuk komrad parti yang menghentam Perikatan Nasional semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Yang buat saya tertanya-tanya, kenapa tangkap layar yang dipos ke WhatsApp? Kenapa bukan mesej yang di"forward"? Itu lebih terjamin keasliannya bukan? Tangkap layar ini boleh dibuat secara palsu dengan mudah menggunakan banyak aplikasi. Takut telunjuk lurus kelingking berkait, lempar batu sembunyi tangan.

"Come on"lah Che Gu! Saya tidak akan memburukkan Che Gu. Dari dahulu kalau ada orang bertanya saya tentang Che Gu, saya selalu menjawab bahawa memang ada cara dan pendekatan Che Gu yang tidak saya persetujui, tetapi itu tidak pernah membuat saya menidakkan apa yang telah Che Gu buat dan korbankan untuk perjuangan reformasi di negara ini. Saya hormat, dan pandangan saya kekal begitu.

Cuma saya nak bertanya Che Gu... sejarah telah merakam bahawa apalagi yang tidak pernah diperkata oleh Che Gu terhadap Azmin Ali, apalagi yang tidak dibuat laporan oleh Che Gu terhadap Azmin, antaranya ada yang saya membekalkan maklumat syarikat yang berurusan dengan Kerajaan Negeri Selangor semasa Azmin menjadi Menteri Besar. Che Gu pun pernah mengulang siar laporan saya kepada Lembaga Disiplin parti tentang salah laku Azmin berkait dengan mempengaruhi secara salah keputusan MPP berkenaan dengan perjalanan Kongres Nasional. Soalan saya, apa status sebenarnya tentang semua yang diperkata dan laporan Che Gu itu? Apakah itu semua juga "cerita palsu" yang Che Gu reka? Jadi lebih baik Che Gu menempelak Kak G atau menempelak Che Gu sendiri?

Ya... Che Gu mungkin akan kata, alaaah, Zukri pun pernah sokong Azmin bukan? Saya akan jawab dua perkara, pertama ia berlaku dalam konteks dalaman, "intra-party," kedua, saya bukan "menyokong" Azmin, saya tidak menyokong Rafizi Ramli, itu jelas. Saya tidak akan panjangkan bab ini di sini. Nanti timbul perbahasan yang lain pula.

Lewat malam tadi saya menonton filem di Astro, "Rogue One: A Star Wars Story." Ada satu dialog dari Cassian Andor, pejuang Perikatan Pemberontak, yang antara lain bermaksud, telah lama dalam perjuangan ini, banyak yang dilalui, kadang-kadang ada rasa mahu menarik diri, tetapi bila mengenang akan prinsip yang diperjuang selama ini, menarik diri membuat yang diperjuangkan itu menjadi sia-sia. Bukanlah skripnya macam itu, tetapi maksudnya begitulah.

Akhir kata Che Gu, saya imbau satu program anjuran Amanah Negeri Pahang di Sempurna Resort (dalam kawasan perumahan saya). Che Gu dijemput, dan Che Gu datang. Saya lupa apakah saya pernah beritahu Che Gu bahawa Pengerusi Amanah Negeri Pahang ketika itu, Dr Hamzah Jaaffar berjumpa saya di luar dewan hotel memberitahu seseorang dari Keadilan telah menelefonnya, marah dan mempersoal mengapa Che Gu dijemput. Che Gu mesti faham seseorang itu siapa atau mewakili siapa.

Dari hidup melutut, biar mati berdiri!

Zukri Aksah

#akukeadilan #kamikeadilan #keadilan21tahun #lawantetaplawan
Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah Wan Ismail
#covid19 #covid19malaysia #kitajagakita
#perintahkawalanpergerakan #dudukrumah
#stayathome #staysafe #pray4malaysia
#StayIn #moc #movementcontrolorder