Tindakan proaktif dan cekap yang diambil oleh Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membendung penularan wabak Covid-19 di kampusnya, terutama mengambil langkah awal sebelum kerajaan membuat keputusan.
Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid dalam reaksinya memuji kecekapan USM kerana mengambil langkah sejurus selepas beberapa universiti di Amerika Syarikat melaksanakan usaha yang sama, iaitu mengalihkan sesi kuliah di kelas kepada sistem atas talian.
Dengan kata lain, menurutnya, pihak USM sudah bersiap siaga dengan segala kemungkinan.
Beliau turut memuji usaha USM menggariskan panduan lengkap bagi menguruskan kakitangan dan pelajarnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 18 hingga 31 Mac.
“Saya yakin, pembuat keputusan di USM memang memantau keadaan (penularan Covid-19) dengan teliti,” beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang memberitahu Roketkini hari ini.
USM menerusi kemaskini di laman sosial rasminya baru-baru ini menggariskan beberapa senario “kemungkinan” berserta pelan simulasi untuk menghadapi Covid-19 sepanjang penguatkuasaan PKP selama 14 hari.
Usaha USM tidak terhenti di situ, institusi pendidikan terbabit turut menggariskan langkah yang lengkap bagi menguruskan kakitangan dan pelajarnya selepas penguatkuasaan perintah itu berakhir pada 31 Mac.
USM antaranya menjangkakan seramai 14,000 pelajarnya pulang ke kampus selepas tamat penguatkuasaan PKP, sekaligus menggariskan beberapa tindakan antara lain seperti melakukan saringan kesihatan, kuarantin selama 14 hari dan meneruskan kuliah atas talian.
Selain itu, pihak USM juga mengarahkan kakitangannya untuk terus bekerja dari rumah dengan golongan yang berusia lebih 50 tahun, mempunyai penyakit kritikal atau mengandung menjadi individu paling akhir menyambung tugas di kampus jika diperlukan.
Menurut Syerleena, inisiatif yang diambil USM ini harus menjadi contoh kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta yang lain memandangkan tiada arahan yang jelas oleh kementerian berkaitan.
“Inisiatif yang diambil USM ini harus dilakukan IPT-IPT lain bagi memastikan tidak berlaku keadaan kekacauan, keadaan kelam-kabut dan paling parah, panik di kalangan warga IPT.
“Bukan hanya IPT perlu mencontohi USM Pulau Pinang, Menteri Pendidikan Pengajian Tinggi dan timbalannya juga perlu contohi USM dalam situasi cemas ini.
“Tolak ketepi dulu soal politik dan buat yang terbaik untuk semua rakyat. Kita sudah kesuntukan masa,” ujarnya.