Umno, Pas tak suka bersatu, parlimen mungkin bubar
Pilihan raya umum ke 15 mungkin diadakan dalam tahun ini memandangkan tidak wujud keserasian dalam kerajaan Perikatan Nasional, terutama Umno, Pas menghadapi Bersatu.
Setiusaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa, Umno dan Pas sebenarnya tidak menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Katanya, kedua-dua parti itu hanya menumpang arus ‘pintu belakang’ namun matlamat utama mereka adalah pembubaran Parlimen dengan Umno mengimpikan untuk menjadi Perdana Menteri.
“Ini matlamat mereka. Jika diadakan pilihan raya umum, yang 36 kerusi dikatakan dipegang oleh Bersatu, adakah Umno tidak akan bertanding untuk beri kepada Bersatu?
“Adakah Umno sanggup berbuat begitu, biarkan Bersatu dan Muhyiddin terus jadi Perdana Menteri?. Sudah tentu tidak. Daripada kenyataan pmimpin Umno dan Pas memang harap pilihan raya umum diadakan supaya mereka boleh menang kalau bertanding semula,” katanya dipetik.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Jelajah Pakatan Harapan Kota Raja di Taman Sri Andalas di sini malam tadi.
Anthony berkata, pemimpin DAP kini mengambil pendekatan bertenang meskipun “dikambing hitam’ dan dipersalahkan dengan pelbagai pertuduhan ketika berlakunya pergolakan politik negara.
Berhubung pendirian Pas yang membantah hasrat PH untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat, Anthony mencadangkan agar Pas membuat perkara sebaliknya dengan mengemukakan usul undi percaya.
“Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata, undi tidak percaya seolah-olah tak percaya Agong. Tak mau buat tak apa. Mungkin Hadi boleh buat usul undi percaya sebab sebelum ini nak buat pada Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad). Kita bahas dan undi,” katanya.