Tajudin pula tidak puas hati kabinet Muhyiddin
Pemimpin veteran Umno Tajuddin Abdul Rahman mengkritik kurangnya lantikan menteri dari Umno
Menurut beliau, pemimpin yang dilantik pula pada kedudukan yang tidak rapat dengan rakyat dan menyukarkan Umno untuk berkhidmat membantu rakyat.
“Kita tengok jawatan yang diberikan kepada Umno pun jawatan yang tidak boleh membantu rakyat.
“Kementerian Pertanian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar – Bersatu (yang) pegang.
“Macam Kementerian Pertahanan (Umno) jaga keselamatan saja, dan apa yang boleh kita bantu rakyat di kampung-kampung yang melibatkan petani dan nelayan?” katanya dipetik.
Dalam pembentukan kabinet Muhyiddin baru-baru ini, seramai sembilan orang pemimpin Umno diberikan jawatan menteri dan sembilan timbalan menteri di sebalik jumlah ahli parlimen parti itu seramai 39 orang.
Bersatu pula – selain Muhyiddin – menguasai 10 kementerian dan 14 pemimpinnya ditempat sebagai timbalan menteri. Jumlah ahli parlimen Bersatu ialah 30 orang.
Kata Tajuddin, tanpa keseimbangan dari segi portfolio kepada Umno, ia akan menjejaskan kedudukan parti itu dalam politik negara.
Sebelum ini ada beberapa pemimpin kanan Umno dan bekas menteri menyuarakan rasa tidak puas hati dengan komposisi kabinet Perikatan Nasional (PN) itu.
Anggota Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor, misalnya menyifatkan kerajaan PN mengetepikan kepentingan Orang Asli apabila gagal melantik sebarang wakil masyarakat itu.
Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali hadir di persada politik negara “terus dikuburkan.”
Turut meluahkan rasa tidak puas hati adalah bekas menteri Umno, Azalina Othman Said.
Katanya, gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.