Sibuk hal pakaian, 13,000 pekerja MAS tiada gaji macam mana?
Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Abdul Rahman membidas pihak tertentu dalam kerajaan Perikatan Nasional yang sibuk isu menutup aurat pramugari MAS, sedangkan isu lebih utama 13,000 kakitangan syarikat itu yang diarah cuti sementara tidak ditimbulkan.
Katanya, keutamaan perlu ditumpukan terhadap usaha membantu kakitangan yang diminta bercuti tanpa gaji
Bekas menteri belia dan sukan itu mengulas kenyataan Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Siti Zailah Mohd Yusoff, yang akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad untuk membincangkan dasar pakaian menutup aurat buat pramugari Islam.
“13,000 kakitangan MAS perlu ambil cuti tanpa gaji kerana wabak Coronavirus. Ini tidak masuk syarikat penerbangan yang lain.
“Mohon bantu mereka tangani masalah ini dahulu YB. Kebanyakan dari mereka anak muda,” ciap Syed Saddiq di Twitter semalam.
Syarikat penerbangan di seluruh dunia telah mengalami kerugian teruk berikutan wabak Covid-19 yang melanda dunia. Beribu-ribu penerbangan dibatalkan kerana sekatan perjalanan oleh negara yang dilanda wabak tersebut.
Syarikat penerbangan domestik terbesar UK, Airline Flybe menjadi mangsa pertama wabak Covid-19 apabila diisytiharkan awal bulan ini dan menjejaskan mata pencarian 2,000 pekerjanya.
Sehingga kini, 141,474 orang telah dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan 5,399 kematian.
Daripada jumlah tersebut, 80,824 kes dan 3,189 kematian adalah dari China.
Bagaimanapun, China kelihatan dapat mengawal penularan wabak tersebut selepas mengambil langkah-langkah drastik selama lebih dari dua bulan, tetapi wabak itu kini semakin merebak ke beberapa negara lain di dunia.
Itali mencatatkan 17,660 kes, Iran (11,364 kes), Korea Selatan (8,086 kes) serta beberapa negara Eropah sedang bekerja keras membendung virus itu.