PH cada
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa kerajaan melaksanakan kaedah pemberian wang bantuan melalui sistem penyaluran dana terus kepada rakyat menerusi program e-Tunai Rakyat yang disertai lebih 8 juta rakyat Malaysia.
PH dalam satu kenyataan bersama malam ini berkata, menyedari masalah kekurangan data yang dihadapi kerajaan dalam membuat bayaran kepada penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pertimbangan tersebut wajar dilakukan.
Katanya, walaupun golongan M40 adalah pembayar cukai, namun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak memiliki data pendapatan isirumah kerana tidak semua pembayar cukai mengemukakan pulangan cukai masing-masing sebagai sebuah isirumah.
“Kedua, bukan semua dalam kategori M40 mempunyai fail cukai pendapatan.
“Sebagai contoh, seorang individu bujang dengan pendapatan RM2,500 berkelayakan untuk bantuan ini mungkin tidak mempunyai fail cukai kerana belum layak membayar cukai.
“Tetapi mereka yang belum layak membayar cukai adalah mereka yang sepatutnya mendapat bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Kenyataan bersama itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan DAP, Tony Pua.
Menurut PH, proses pengeluaran bantuan daripada LHDN juga akan menyusahkan ramai pihak, malah akan menjadi beban kepada pejabat LHDN seluruh negara yang memproses pengeluaran ini.
Akibatnya kata PH, bantuan tersebut mungkin lewat diterima berbanding jangkamasa yang sepatutnya.
Justeru, PH berkata, memandangkan program e-Tunai Rakyat berjaya mengenalpasti mereka yang berpendapatan RM100,000 ke bawah setahun, maka amat mudah bagi kerajaan mengenalpasti kumpulan M40 yang layak menerima bantuan dan seterusnya memasukkan jumlah itu terus ke dalam e-dompet mereka.
“Langkah ini secara langsung akan memudahkan ekosistem e-pembayaran yang digalakkan kerajaan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan sekarang.
“Lebih-lebih lagi kerana aspek transaksi kewangan tanpa sentuhan yang mampu dilaksana dengan baik.
“Majlis Setiausaha mencadangkan agar Perdana Menteri melantik Khazanah Nasional bagi membantu kerajaan mengagih bantuan bagi kumpulan M40 ini melalui e-dompet mereka, memandangkan kejayaan Khazanah Nasional melaksana program e-Tunai Rakyat sebelum ini.
Pakatan Harapan juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan untuk menawarkan idea, pengalaman dan kepakaran dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan demi membantu memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.