Pertandingan paling menarik bagi pemilihan Bersatu Jun ini tentunya ialah perebutan jawatan Presiden antara Muhyiddin Yassin yang akan dicabar oleh Mukhriz Mahathir.
Pertandingan itu lebih menarik lagi kerana kedudukan Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu tidak dicabar dan beliau telah pun diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Dengan kemenangan tanpa bertanding itu, sudah pastilah Tun Mahathir lebih selesa untuk bekerja kuat berkempen bagi memastikan kemenangan anaknya.
Setelah hubungannya dengan Muhyiddin retak dan beliau kini melabelkan Perdana Menteri itu sebagai pengkhianat, keinginan terbesar Tun Mahathir sekarang tentulah mahu melihat Muhyiddin dapat dikalahkan oleh anaknya.
Bagi Tun Mahathir, meskipun kedudukannya sebagai Pengerusi Bersatu tidak dicabar, tetapi kekalahan anaknya adalah seperti kekalahannya juga.
Lebih-lebih lagi yang mengalahkan Mukhriz itu nanti ialah Muhyiddin yang sebelum ini telah berjaya membuatnya terpelanting daripada kerusi Perdana Menteri.
Bermakna, mahu tidak mahu, Tun Mahathir akan sedaya upaya berusaha memenangkan anaknya agar setidak-tidaknya sebahagian dendamnya terhadap Muhyiddin dapat dilunaskan .
Dalam waktu yang sama, kekalahan Muhyiddin di tangan Mukhriz juga akan membuatkan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan terancam dengan sendirinya.
Pertama, moral Muhyiddin akan jatuh kerana beliau bukan saja tiada jawatan lagi dalam Bersatu iaitu salah satu parti yang membentuk PN sebagai kerajaan, bahkan juga kerana beliau berjaya dikalahkan oleh Mukhriz yang hanya memegang jawatan Menteri Besar Kedah.
Ia dengan sendirinya menggambarkan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam Bersatu sudah hilang pengaruhnya.
Kedua, dengan Tun Mahathir menjadi Pengerusi dan anaknya sebagai Presiden, apa akan jadi kepada kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika Bersatu ditarik keluar daripada PN?
Dalam keadaan Muhyiddin tiada sebarang jawatan dalam Bersatu, apakah parti-parti lain yang bergabung dalam PN dapat terus meyakini beliau memegang jawatan Perdana Menteri?
Dalam pada itu, kalau pun Muhyiddin dapat menewaskan Mukhriz, hubungan beliau dengan Tun Mahathir pasti akan bertambah buruk lagi.
Oleh kerana difahami bahawa kesediaan Mukhriz mencabar Muhyiddin adalah sebagai proksi kepada bapanya, kekalahan anaknya adalah ibarat kalahnya Tun Mahathir juga ditangan Muhyiddin.
Tidak dapat tidak, akhirnya Tun Mahathir melalui kedudukan sebagai Pengerusi Bersatu akan terus mengkritik dan mengasak Muhyiddin sepanjang masa sebagaimana beliau melakukannya kepada Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak sebelum ini.
Dalam erti kata lain, sama ada Muhyiddin kalah atau menang dalam pertandingan bagi jawatan Presiden Bersatu bertembung dengan Mukhriz nanti, beliau tetap akan menjadi bahan serangan serta belasahan oleh Tun Mahathir.
Bagaimanapun, jika kalah ditangan Mukhriz, selain terus dibelasah dan ditekan oleh Tun Mahathir, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri juga bakal terancam.
Dalam hal ini, barangkali kesilapan paling besar Muhyiddin ialah membiarkan Tun Mahathir menang tanpa bertanding bagi jawatan Pengerusi Bersatu.
Kemenangan tanpa bertanding itu umpama memberi lesen besar kepada Tun Mahathir untuk terus menguasai Bersatu dan memberinya lebih ruang terbuka ke arah mendatangkan kesusahan kepada kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sepatutnya Muhyiddin sendiri yang mencabar Tun Mahathir kerana dengan tindakan itu menggambarkan keseriusannya mahu menguasai Bersatu dan mengakhiri kemelut hubungannya dengan Tun Mahathir.
Jika Tun Mahathir dapat dikalahkan, maka kuranglah gangguan yang boleh didatangkannya kerana tanpa jawatan dalam Bersatu, suaranya tidaklah begitu berpengaruh lagi.
Dengan keseriusannya itu, ditambah kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding Tun Mahathir yang tiada lagi jawatan dalam kerajaan, beliau mungkin lebih mudah untuk diberikan sokongan.
Dan kalau pun tidak mahu menentang Tun Mahathir, Muhyiddin sepatutnya membenarkan seseorang yang lain untuk mencabar Tun Mahathir.
Setidak-tidaknya, kalau Tun Mahathir dicabar dan beliau pula dicabar oleh Mukhriz, jalan untuk melakukan rundingan dan tawar menawar masih lagi terbuka.
Tetapi, dengan kemenangan percuma yang diraihnya, kelebihan untuk membelasah Muhyiddin dan seterusnya menguasai Bersatu melalui dua jawatan tertinggi lebih memihak kepada Tun Mahathir.
Hanya bagi jawatan Timbalan Presiden, kem Muhyiddin diyakini lebih selesa meraih kemengan apabila calonnya, Ahmad Faizal Azumu atau Peja bakal dicabar oleh Marzuki Yahya yang kini merupakan Setiausaha Agung Bersatu. (ShahbudinHusin 16/03/2020)