Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) amat penting dijalankan secara terancang dan berkesan dengan semua Kementerian dan Agensi Penguatkuasaan supaya ia tidak seperti yang disaksikan 48 jam lalu, kata Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, keseluruhan matlamat MCO akan gagal sekiranya arahan-arahan yang tidak jelas menjadi pencetus kepada perebutan untuk masyarakat pulang ke kampung atau bercuti.
“Amat malang kalau MCO tidak dirancang dengan baik dan tidak dilaksanakan dengan berkesan seperti didakwa seorang Prof Dato Dr Lukman Hakim Sulaiman semalam. Semoga ianya segera diatasi!
“Dalam pada itu, berlaku jangkitan kluster besar akibat belasan ribu himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, (27 Feb-1 Mac) Kuala Lumpur, yang merupakan punca utama ledakan kes (spike in curve).
“Pantas ke hadapan, terdapat 120 kes baharu yang dilaporkan semalam, 125 kes pada 16 Mac dan 190 kes pada 15 Mac.
“Saya menegaskan, ini kerana kita gagal untuk mengamalkan ‘Social Distancing’ (SD) secara sukarela sedari awal lagi. Maka hari ini, kita dikenakan SD secara paksa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH menyifatkan, SD itu wajib dilaksanakan oleh semua pihak dalam usaha membendung penularan Covid-19 daripada terus menular.
“Sekali gus usaha untuk ‘Mendatarkan/Melandaikan Keluk Epidemik’. Inilah pengorbanan yang dituntut daripada setiap kita.
“Biarpun nampak menyusahkan, kita mesti menjayakan MCO ini secara bersama dan berkesan,” katanya lagi.