Laksana semula GST berisiko?
Cadangan kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu diteliti secara terperinci bagi mengelak risiko ekonomi semakin buruk.
Biarpun GST boleh meningkatkan pendapatan negara yang menyusut susulan kejatuhan harga minyak dunia ia juga akan melemahkan sentimen pengguna dalam keadaan ekonomi negara yang lembab ketika ini.
GST dengan kadar 6% diperkenalkan Barisan Nasional (BN) semasa di bawah pentadbiran Najib Razak pada 2014. Cukai ini dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan kecuali yang disenaraikan kerajaan.
Kerajaan ketika itu menerima banyak kritikan berhubung GST dan penangguhan bayaran balik cukai itu. Kerajaan Najib mengumpul RM44 bilion hasil daripada kutipan GST.
Selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, cukai tersebut kemudiannya dimansuh dan diganti dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ahli politik dan pakar ekonomi mencadangkan supaya GST dilaksana semula tetapi pada kadar lebih rendah iaitu antara 3-4% untuk meningkatkan pendapatan negara.
Ini susulan Belanjawan 2020 sebelum ini dirangka berdasarkan andaian harga minyak dunia ialah AS$63 (RM267) setong. Namun, harga minyak dunia jatuh kepada AS$27 semalam ekoran perang harga antara pengeluar utama iaitu Arab Saudi dan Rusia.
Permintaan minyak di China juga menurun berikutan perniagaan dan kilang ditutup bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Pakar ekonomi Lee Heng Guie memberitahu The Malaysian Insight GST mungkin baik untuk meningkatkan pendapatan kerajaan susulan kejatuhan harga minyak dunia tetapi ia bergantung kepada kadar yang hendak dikenakan.