Kukuhkan PH sebagai pembangkang berwibawa – Manogaran
Pakatan Harapan (PH) yang kembali menjadi pembangkang sewajarnya lebih garang dalam perjuangan membela rakyat menuju pilihan raya umum ke 15.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran berkata, pengkhianatan pada hujung Februari lalu tidak sewajarnya melemahkan semangat pemimpin PH untuk bangkit semula dan memenangi PRU akan datang.
“Saya memang amat sedih dengan apa yang telah berlaku kepada PH. Namun begitu, kita ambil ikhtibar untuk terus berjuang dalam Dewan Rakyat sebagai pakatan pembangkang yang kuat, kukuh dan berwibawa. Kita juga mesti mula merancang untuk Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun 2023.
“Saya harap rakyat akan bersama dengan PH dalam PRU15 nanti. Saya tengok dalam media sosial, ramai orang marah pasal cara PH ditumbangkan. Walau apapun sekarang, khidmat kepada rakyat adalah amat penting sekali,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Jameson Tan pula kurang optimis dengan kerajaan Perikatan Nasional yang masih gagal mengisi anggota kabinet biar pun telah seminggu berkuasa.
“Walaupun Malaysia dengan tiba-tiba sudah ada kerajaan baru, saya sebagai pelabur asing tidak mahu komen banyak selagi belum ada apa-apa dasar baru diumumkan. Saya hanya boleh berharap bahawa dasar-dasar baru tersebut adalah mesra pelabur asing.
“Dengan serangan virus Covid-19 terhadap ekonomi sedunia, sudah pasti ekonomi Malaysia akan menjadi lembab juga. Justeru itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasti akan menghadapi banyak cabaran dalam menguruskan hal-hal kewangan dan ekonomi,” katanya ringkas.
Beliau menegaskan PH perlu memantau kerajaan baru ini dengan amat teliti dan setiap langkah yang tidak betul perlu dikritik dan diumumkan kepada rakyat.