Kerajaan bertukar, India tetap enggan beli sawit Malaysia
Penyokong Umno dan Pas yang mengusahakan kebun sawit mungkin menarik nafas lega apabila kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih teraju negara. Mereka membayangkan harga sawit akan meningkat susulan India akan menarik semula sekatan ke atas minyak sawit Malaysia.
Namun kakikatnya, bayangan sekatan akan dicabut itu tidak berlaku. Eksport sawit ke India bulan lalu mencatat penurunan yang amat drastik sebagaimana dipaparkan dalam data bulanan yang dikeluarkan oleh sebuah persatuan perdagangan New Delhi.
Menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India, negara itu mengimport sejumlah 540,470 tan minyak sawit pada Februari lepas tetapi hanya sejumlah 5,890 tan dibeli dari Malaysia.
Pada Januari lepas, jumlah import minyak sawit dari Malaysia adalah 136,219 tan manakala Disember sebanyak 110,562 tan.
Walaupun tiada sebarang sekatan rasmi mengenai pembelian minyak sawit Malaysia, New Delhi dikatakan tidak menyenangi tindakan Malaysia mengkritik pendiriannya dalam isu pertikaian Kashmir dan dilihat tidak menggalakkan pengimport daripada berurusan dengan syarikat-syarikat Malaysia.
Pada 8 Januari lepas, kerajaan India bertindak menyenaraikan olein sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) di dalam senarai barangan ‘sekatan,’ sekali gus menyebabkan pengimport perlu memohon permit dan menjadi punca kemerosotan pengimportan minyak sawit bertapis.
Langkah itu khususnya, membabitkan syarikat-syarikat Malaysia walaupun sekatan itu tidak menyasarkan mana-mana negara.
Pada bulan lepas, jumlah import minyak sawit bertapis India hanya 33,677 tan berbanding 94,816 tan pada Disember.
Bahagian pasaran minyak sawit pada Februari juga susut berbanding minyak lain seperti kacang soya dan bunga matahari yang mewakili 50 peratus daripada kira-kira berjuta-juta tan import minyak sayuran.