Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan patut menyiasat Perdana Menteri baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga di atas tuduhan penyalahgunaan kuasa jika beliau berhasrat untuk menyiasat saya di atas tuduhan kononnya saya bertanggungjawab terhadap peningkatan hutang langsung kerajaan, penjualan aset negara dan aset Tabung Haji.
Penjualan aset negara bukanlah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan saya tidak memainkan sebarang peranan dalam keputusan Khanazah Nasional Bhd, di mana saya bukan pun seorang ahli lembaga pengarahnya. Malahan, Petronas juga tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
Sebarang peningkatan hutang langsung kerajaan mestilah diluluskan oleh kabinet. Jika saya perlu disiasat, maka Tan Sri Muhyiddin juga perlu disiasat memandangkan beliau juga merupakan ahli kepada Kabinet yang sama yang meluluskan peningkatan hutang langsung kerajaan tersebut.
Tambahan lagi, peningkatan dalam hutang langsung kerajaan ini diperlukan untuk meneruskan projek infrastruktur yang dimulakan oleh kerajaan BN dan juga kerana keengganan kerajaan PH untuk meneruskan perbuatan salah kerajaan BN yang menyorokkan sesetengah hutang ini melalui pembiayaan luar penyata imbang. Perbuatan Mohamad Hassan yang meneruskan penipuan UMNO tentang kononnya saya bertanggungjawab terhadap bencana kewangan Tabung Haji ini hanyalah satu cubaan untuk meningkatkan sentimen perkauman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu itu, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa telah mengesahkan yang beliau bertanggungjawab terhadap Tabung Haji, dan saya tidak menghadiri sebarang mesyuarat atau pun membuat sebarang keputusan yang berkenaan dengan Tabung Haji. Satu-satu peranan yang saya jalankan adalah untuk menyokong keputusan untuk menyuntik hampir RM20 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan untuk menyelamatkan Tabung Haji. Namun begitu, saya masih dituduh sebagai punca kepada segala kerosakan Tabung Haji.
Walaupun penipuan itu pun telah menjadi budaya UMNO, perbuatan mensasarkan saya sedangkan Mohamad Hassan sedar yang saya bukanlah pembuat keputusannya ini menunjukkan yang UMNO dan Perikatan Nasional tidak berniat langsung untuk menyatupadukan negara ini tetapi akan terus-menerus untuk memecahbelahkan negara dengan menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan. Jelas sekali tidak seperti Perikatan Nasional, Pakatan Harapan adalah satu-satunya gabungan memerintah yang cuba untuk mewakili dan bekerja untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang, mahupun geografi.
LIM GUAN ENG