Fail lama SPRM halang bekas BN sokong Anwar?
Banyak pertanyaan berlegar-legar dalam fikiran rakyat mengapakah Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak berjaya mencari rakan kongsi politik pada Rabu 26 Februari lalu, selepas Pakatan Harapan (PH) mencalonkan beliau sebagai perdana menteri (PM) ke 8.
Pada petang itu, selepas pengumuman di ibu pejabat PKR, penyokong menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada rakan-rakan yang rapat dengan Anwar, memberi cadangan agar beliau mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada Gabungan Politik Sarawak (GPS), bersetuju dengan perjanjian MA63 dan sebagainya.
Begitu juga terdapat penyokong yang kehairanan mengapakah parti Warisan yang selama ini menjadi sekutu kuat Tun Mahathir tiba-tiba enggan menyokong Anwar. Sedangkan sekiranya berlaku penyerahan kuasa dalam PH maka bukankah Anwar adalah individu yang dijanjikan jawatan PM?
Turut ada penyokong yang mencadangkan agar pemimpin Warisan dilantik menjadi Menteri Kewangan II. Bermakna Sabah dan Sarawak akan mempunyai akses kepada peruntukan besar kerajaan persekutuan yang mereka boleh bawa pulang ke negeri masing-masing.
Bayangan Anwar
Namun ahli politik Sabah dan Sarawak tetap enggan memberikan sokongan kepada Anwar yang ketika itu didakwa telah memperolehi sekitar 100 kerusi. Apakah puncanya?
Adakah Anwar tidak cukup pengalaman sebagai TPM era Tun Mahathir? Adakah pemimpin dunia tidak kenal Anwar? Anwar tidak mengerti persoalan kewangankah? Pelbagai persoalan bermain di benak penyokong PH.
Namun sumber-sumber dalaman mendakwa Anwar telah melakukan segala-segalanya untuk memujuk hati pimpinan politik dari Sabah dan Sarawak.
“Hingga hari Sabtu malam Anwar menghantar pesanan teks kepada pemimpin kanan Malaysia Timur setelah panggilannya tidak diangkat. Mereka ditawarkan MA63 dan royalti minyak. Mesej teks itu juga dihantar kepada pembantu pemimpin kanan tersebut. Namun hasilnya negatif. Tiada balasan dari mereka,” kata seorang sumber.
Malah perundingan dengan ahli politik Sarawak didakwa telah dilakukan beberapa bulan awal berikutan Anwar mahukan proses peralihan kuasa yang licin pada 2020 dan disokong oleh pelbagai blok politik. Menurut sumber, rundingan awal juga tidak membuahkan hasil.
Fail berhantu
Timbul tanda tanya apakah yang menjadi faktor penghalang selepas Anwar bersetuju dengan tuntutan Malaysia Timur?
Sekiranya Umno yang ditawarkan sedemikian rupa mungkin ahli politik parti itu tidak mempercayai Anwar kerana pemimpin kanan mereka telah didakwa di mahkamah. Namun bekas-bekas ahli politik BN di Malaysia Timur tidak didakwa dan tidak disiasat sepanjang lebih setahun PH berkuasa.
Bagaimanapun penganalisis politik berpendapat sikap menentang rasuah dan ketegasan Anwar memberikan kuasa penuh kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat adalah punca mengapa ahli politik Sabah dan Sarawak mencurigainya.
Menurut penganalisis, mereka memang mahukan lebih peruntukan untuk rakyat yang tidak diberikan oleh Tun Mahathir dan malah mungkin oleh Muhyiddin Yassin yang masih menebal falsafah politik Umno-BN. Dalam politik BN, kroni di Semenanjung perlu dijaga dan dibaja lebih banyak berbanding kroni di Malaysia Timur yang bukan pengkalan utama sokongan mereka.
Namun pemimpin politik Malaysia Timur juga tidak sanggup membayangkan individu atau NGO yang tidak sukakan mereka membuat laporan polis atau SPRM bersama dokumen lengkap praktik korupsi era BN, dan kemudiannya Anwar tidak menghalang agensi penguatkuasaan daripada bertindak.
Biasanya skandal berprofail tinggi perlu menunggu lampu hijau daripada PM. Bolehkah dibayangkan Anwar akan memberi lampu merah?
Anwar tidak akan melakukannya. Oleh itu cara paling selamat adalah menyokong Mahathir daripada PH atau beralih kepada Muhyiddin Yassin dan kerajaan Pintu Belakang yang dihuni ahli-ahli politik bermasalah. Terlalu banyak lampu merah akan bernyala dan bekas-bekas BN akan selamat.
Oleh itu, selepas Ahad 29 Februari, kerajaan Muhyiddin mempunyai tarikan yang amat kuat kepada sesiapa yang bermasalah. Tidak kira parti reformasi atau parti yang berkarat hijau dengan rasuah. Lupakan peruntukan lebih baik kepada Malaysia Timur.
Bagi Anwar masa hadapan politiknya jelas. PH perlu menang 112 kerusi parlimen pada masa depan atau lupakan hasrat untuk menjadi PM buat selama-lamanya. Budaya politik Malaysia, tiada yang sanggup bersama Anwar sekiranya tidak bersih.