Di tengah-tengah Covid 19 pemimpin PKR mahu dibeli?
Mungkin tidak di temui di mana-mana bahagian dunia sikap paling mementingkan diri sebagaimana ditunjukkan oleh ahli politik Malaysia.
Di tengah-tengah serangan berterusan wabak covid 19, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu terdapat ahli-ahli politik daripada parti itu dihubungi dan cuba dibeli oleh pemimpin Perikatan Nasional.
Menurutnya, antara yang paling sibuk bermain politik ketika ini adalah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
“Kami ada para pemimpin, menteri-menteri, termasuk menteri dalam negeri yang sepatutnya menumpukan kepada isu virus dan keselamatan negara tetapi cuba menarik (sokongan) orang, menghubungi para MP daripada parti kami dan memujuk mereka, menjanjikan bermacam imbuhan untuk menyertai mereka,” katanya dipetik wawancara bersama CNBC.
Dalam wawancara itu juga Anwar ditanya sekiranya PH masih mahu meneruskan cadangan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan jika gabungan tersebut mempunyai bilangan MP yang cukup untuk menyokong usul berkenaan di parlimen.
Menjawab soalan itu, MP Port Dickson berkata walaupun kini beliau menumpukan terhadap kebajikan orang ramai, virus dan keselamatan negara namun Anwar optimis mengenai usul undi tidak percaya PM itu.
Bagaimanapun, katanya lagi usul undi tidak percaya tersebut bergantung kepada situasi semasa negara.
Pada masa ini, Anwar berkata PH menyokong kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
“Kami bersama-sama dengan kerajaan dalam semua usaha untuk menangani isu ini,” jelasnya.
Menurut Anwar, bagaimanapun, kerajaan kekurangan rancangan yang koheren dan jelas dalam menangani Covid-19.
Banyak yang dapat dilakukan bagi menjaga kebajikan golongan miskin dan memastikan keperluan mereka dipenuhi sepanjang tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan.