Anwar Ibrahim perlu ketuai Harapan, pertahan mandat rakyat


Anwar Ibrahim perlu ketuai Harapan, pertahan mandat rakyat
Kedudukan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) sebagai parti pemerintah semakin rapuh dengan pengkhianatan terhadap mandat rakyat tanpa komitmen dan hala tuju yang jelas.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu kekal konsisten dengan prinsip dan perjuangan bagi mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.
“Kami kekal komited dengan dasar dan pendirian Pakatan Harapan dan PKR iaitu Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan fokus kepada isu-isu rakyat.
“Bagi mempertahankan prinsip-prinsip ini, wajarlah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan mengetuai usaha untuk mempertahankan mandat rakyat dan berhadapan dengan PN.
“Semoga ahli-ahli Parlimen lain yang kekal berprinsip dan tidak mahu bersekongkol dengan pembelot, dapat kekal bersama dengan perjuangan Pakatan Harapan dan mendokong kepimpinan saudara Anwar Ibrahim,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menambah, perebutan politik dalam kalangan PN akan terus berlaku dalam keadaan negara berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu dan ancaman wabak Covid19.