Warisan Sabah kerjasama baik dengan PKR
Kerajaan Negeri Sabah akan terus mendapat sokongan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam memastikan semua usaha membangun negeri itu terlaksana.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama baik sedia ada bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu dimanfaatkan kerana menerusi gandingan mantap di peringkat kepimpinan Sabah ketika ini dapat memastikan pembangunan negeri dan rakyat lebih berkesan.
“Hubungan mantap dalam kepimpinan sebuah kerajaan memberi kesan untuk faedah rakyat Sabah,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Tawau.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, konsep pembangunan yang sering dimaksudkannya adalah negara dan rakyat membangun bersama.
“Bukannya negeri kaya, hasil balak dan minyak banyak tetapi rakyat merempat miskin kerana wujud segolongan kecil iaitu kelompok penguasa politik yang membolot kekayaan dan individu ini perlu ditolak.
“Seorang pemimpin perlu memberi perhatian untuk menjana kegiatan ekonomi bukannya bolot untuk diri sendiri kekayaan,” katanya.
Beliau sementara itu turut memuji usaha dilaksana kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat berusaha gigih meningkatkan pembangunan dan menarik kemasukan pelancongan ke negeri itu.