Pemimpin Islam jangan mudah jatuhkan hukuman – Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati pemimpin Islam di negara ini tidak sewenangnya menjatuhkan hukum kepada seseorang hanya kerana tidak sealiran dalam politik.
Tegas Anwar, lebih-lebih lagi sekiranya ia dilakukan dengan tidak disertakan bukti.
gesaan itu dibuat Anwar dalam takzirahnya bertajuk ‘Melayu dan Islam’ semasa Majlis Zikir, Selawat Nurul Anwar dan Bacaan Yaasin di kediamannya di Bukit Segambut.
Menurut Anwar, sikap suka menjatuhkan hukum sewenangnya jika tidak ditangani hanya akan memberi kesan negatif kepada agama Islam itu sendiri.
“Pada tahun 1976, saya bersama Allahyarham Ustaz Fadzil Noor (bekas Presiden Pas membuat kunjungan ke dunia Arab iaitu ke Saudi, Kuwait dan Mesir. Ketika di Riyadh (Arab Saudi) kami bertemu berjumpa dengan pejuang dan ulama terkenal Lubnan.
“Dalam pertemuan itu, beliau ada ada tekankan peringatan tentang kerosakan badan Islam kerana tokoh Islam kononnya ulama yang bertopengkan jubah dan sebagainya tapi terlalu obses dan angkuh.
“Cepat menghukum orang mengkafirkan orang yang tidak mendengar pandangan (mereka) serta membuat fatwa ikut selera, mencerca dan mempertikai orang tanpa asas. Kemudian selepas 30 tahun, kelemahan parti Islam itu ternyata
(berlaku) dan berpunca daripada sikap yang sedemikian (pemimpin yang cepat menghukum),” katanya.
Tambah Anwar, memiliki ilmu atau pengetahuan agama yang tinggi bukan tiket untuk seseorang itu mudah menjatuhkan hukum ke atas pihak lain.
Katanya, bagi memastikan setiap perkara atau perbuatan yang dilakukan pemimpin itu benar-benar selari dengan Islam, pengikut parti atau pemimpin tertentu perlu berusaha untuk sentiasa mendalami ilmu.
“Hanya dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas mampu memberi kefahaman yang lebih jelas dan tidak hanya obses semata-mata,” katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu itu. –