Pembangkang lancar serangan sebelum 21 Februari
Pembangkang didakwa akan melancarkan serangan ‘torpedo’ menjelang pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dirancang pada Jumaat ini.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, serangan itu yang bermula sejak minggu lalu itu menyaksikan pelbagai plot, teori konspirasi termasuk berita palsu mengenai akuan bersumpah oleh 138 ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pendedahan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dibuat susulan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu yang mendakwa ada taktik licik dilakukan pihak tertentu bagi menkucar-kacirkan keharmonian HARAPAN.
“Terdapat konspirasi pembangkang dan perancang untuk serangan torpedo terhadap kerajaan sebelum PRU15.
“Namun mereka telah tersalah membaca rentak, pemimpin HARAPAN komited untuk menetapkan semula dasar membina negara dan membangunkan bakat rakyat.
“Kerajaan HARAPAN akan memanfaatkan keempat-empat tamadun besar yang bersatu membentuk Malaysia dan membangunkan negara ini menjadi negara kelas dunia dan mengakhiri Malaysia sebagai negeri kleptokrat, yang tidak masuk akal dan gagal,” katanya menerusi satu kenyataan.
Anwar sebelum ini mendedahkan rancangan licik pihak tertentu yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau cenderung supaya Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC dan perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.