Mohamad Hasan beri nasihat ‘pedas’ tawaran kerjasama Bersatu
Spekulasi akan terbentuknya kerajaan baharu dianggotai Bersatu, BN, Pas, GPS dan Warisan selepas 7 Februari ini mungkin sukar menjadi kenyataan.
Dalam tiga hari kebelakangan, tumpuan terfokus kepada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno Jumaat ini yang mungkin menyokong tawaran kerjasama Umno – Bersatu bagi membentuk kerajaan yang didakwa akan membelakangkan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, impian itu kelihatan agak sukar berikutan penolakan majoriti ahli akar umbi Umno. Semalam Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula menerusi akaun Facebooknya memberi peringatan serius agar berhati-hati dan tidak terpukau dengan agenda kerjasama Umno – Bersatu.
Katanya, Umno perlu menimbang sama ada kerjasama itu akan memberi manfaat atau mudarat kepada parti dan orang Melayu untuk jangka masa panjang.
“Semua ini perlu diperhalusi sedalam-dalamnya. Janganlah kita gopoh. Berhikmahlah dalam perhitungan kita,” katanya.
Ingatan tersebut diberikan ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ‘terburu-buru’ mencadangkan agar parti itu bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad demi survival dan masa depan Umno sendiri.
Cadangan Zahid didedahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kelmarin.
Menurut Lokman, Zahid memberikan beberapa alasan kenapa Umno perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir dan Bersatu, antaranya kerana Pas sendiri sudah berbuat demikian dan Umno tidak boleh ketinggalan.
Bagaimanapun Mohamad mengingatkan Umno, apakah keperluan mendesak untuk parti itu bekerjasama dengan Dr Mahathir.
“Adakah tujuan lamaran itu ikhlas dan strategik kepada kepentingan bangsa, agama dan parti?
“Akankah ia menguntungkan parti dan bangsa Melayu dalam jangka masa panjang?” tanyanya.
Beliau memberi amaran agar cadangan kerjasama dengan Bersatu itu diperhalusi di semua peringkat parti.
“Bincangkan. Bahaskan. Dengan mendalam, dengan sejujur-jujurnya.
“Agar kita tidak terperangkap dalam permainan politik pihak-pihak tertentu.
“Agar Umno tidak berpecah-belah hanya kerana kita terlalu cepat menerima lamaran yang sebenarnya masih samar-samar dan sarat dengan tanda tanya,” katanya.
Mohamad juga mengingatkan muslihat yang mungkin hadir bersama tawaran tersebut. Sebagai orang lama yang mengenali Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir yang sering ‘memerangkap’ musuh politiknya, beliau mengingatkan agar Umno tidak mengikut nafsu dalam berpolitik.
“Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan.
“Dalam politik, kita mesti ada kejelasan dalam tujuan, aspirasi dan tindakan. Paling penting, dalam politik jangan pernah kita lupa apa itu ‘perjuangan’.
“Pertimbangkanlah perkara berikut dengan semasak-masaknya,” katanya lagi.