Misi bawa pulang warga Malaysia dari China berjaya
Meskipun pembangkang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak bertanggungjawab kerana tidak menyekat rakyat China daripada memasuki Malaysia namun semalam kerajaan membuktikan tanggungjawab besarnya membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang terperangkap dalam wabak koronavirus di Wuhan China
Misi pertama itu menggunakan sebuah pesawat khas dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi.
Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada jam kira-kira 5.57 pagi.
Penerbangan khas itu yang membawa seramai 107 orang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe malam tadi.
Ia turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing.
Sebelumnya penerbangan khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.
Pesawat itu turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.
Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan.