Dalam menuju usia 95 tahun, duduk lagi sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, ada gaji sekitar RM100 ribu sebulan dan anak-anak semuanya bergelar jutawan, dari sudut luaran kehidupan Tun Mahathir Mohamad tampaknya cukup bahagia dan selesa.
Dalam negara ini, hanya beliau diberi nikmat sebegitu rupa.
Tetapi, setelah hampir dua tahun menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ini, kita mulai dapat merasakan jiwa dan batinnya tidaklah sebahagia dan seselesa sebagaimana yang dilihat daripada luarannya.
Setiap hari, selain kebencian rakyat makin membesar terhadapnya, bukan saja daripada kalangan rakyat biasa dan mereka yang tidak berparti serta daripada penyokong UMNO dan penyokong PH sendiri, kesengsaraan jiwa Tun Mahathir yang paling parah ialah ketamakannya terhadap kuasa.
Semua keadaan itu, mahu tidak mahu, adalah berkaitan dengan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya buat kali kedua sekarang ini.
Setelah merasa jadi Perdana Menteri selama 22 tahun di era BN, kemudian bersara, Tun Mahathir sepatutnya menikmati zaman persaraannya dengan senang hati dan gembira sekarang ini.
Tetapi, bermula dengan menyerang pengganti yang dipilihnya sendiri, Tun Abdullah Badawi dan kemudian menjatuhkan Najib Razak, pemimpin yang dilatih dan dikehendakinya untuk menjadi Perdana Menteri, seterusnya sedia kembali memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara bersama PH secara sementara, seharusnya tiada apa-apa lagi yang menggugat ketenangan perjalanan hidupnya dalam usia bonus ketika ini.
Jiwa Tun Mahathir kini dilihat terganggu dan tidak tenang kerana ternampak beliau terlalu sayang kepada jawatan dan lupa kepada janjinya yang pernah dibuatnya sendiri.
Kalaulah beliau sentiasa ingat kepada janjinya, ingat bagaimana beliau datang ke mahkamah untuk berbaik dengan Anwar, ingat bagaimana Anwar memaafkannya dan keluarga beliau dapat menerimanya ke dalam PH dan ingat bagaimana beliau menyuruh Tun Daim Zainuddin bertemu Anwar sebanyak enam kali di Penjara Sungai Buloh sebelum PRU14, tentulah tidak sukar bagi Tun Mahathir memenuhi janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu.
Ia jadi sukar kerana Tun Mahathir ternampak tidak ikhlas dan selalu berdolak-dalik berhubung janji peralihan kuasa serta seolah-olah sengaja membuka banyak ruang untuk janji itu dimungkiri.
Cakapnya mengenai peralihan kuasa bukan saja berbeza antara minggu ini dengan minggu depan, malah berbeza antara siang dengan malam.
Sekarang ini, walaupun beliau macam bersetuju agar isu peralihan kuasa dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini, semuanya masih belum pasti lagi sebenarnya.
Ini berikutan isu mengumpul Akuan Bersumpah atau SD di kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk mengekalkan khidmatnya sehingga habis penggal masih lagi menjadi perbualan dan hasrat Pas mahu membawa usul percaya kepadanya juga semakin hari semakin galak perbuatannya.
Lebih daripada itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang diketahui merupakan pembodek tegar Tun Mahathir sejak diberikan jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, turut tidak habis-habis cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.
Atas semua yang berlaku itu, kenapakah Tun Mahathir tidak pernah bersuara menghalangnya?
Apa susahnya sebagai Perdana Menteri, jika Tun Mahathir menyatakan pendirian tegas menolak sebarang usaha mahu mengekalkannya sehingga habis penggal dengan alasan beliau kekal komited untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar?
Namun, apalah maknanya hanya sekadar berkata akan mengotakan janji peralihan kuasa, tetapi usaha-usaha di belakang untuk menghalang janji ditunaikan terus juga dibiarkan berjalan?
Tidakkah jiwa Tun Mahathir akan lebih tenang sebenarnya jika sambil mengatakan komited terhadap janji, beliau juga melarang keras sebarang komplot jahat dan membodeknya untuk kekal sehingga habis penggal?
Dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari ini, segala-galanya banyak terserah kepada Tun Mahathir sendiri selaku Pengerusi PH menentukannya.
Jika ucapan pembukaannya dalam mesyuarat itu menunjukkkan beliau tegas serta komited kepada peralihan kuasa, malah lebih baik jika dapat menyebut bila tarikhnya beliau akan melakukan serah kuasa kepada Anwar, sesuatu yang menggembirakan kita semua tentunya akan menjelma.
Tetapi, kiranya Tun Mahathir tidak menunjukkan ketegasan serta keinginan untuk menyerahkan jawatan dan akhirnya masih tiada ketetapan tarikh peralihan kuasa dapat dimuktamadkan, percayalah PH akan terus bergolak dan berkecamuk dengan lebih teruk lagi.
Natijahnya, jiwa Tun Mahathir juga akan terus kacau bilau dan berserabut, walhal dalam usia bonus di mana tarikh kematian semakin menghampirinya, ketenangan dan kedamaian jiwalah sesuatu yang diperlukan oleh setiap insan.
Lagi pula, dengan nikmat dunia yang sudah diperolehinya, apa lagi yang mahundikejar-kejarnya? (ShahbudinHusin 18/02/2020)