HANYA ANWAR PENGGANTI MAHATHIR YANG TERBAIK SETAKAT INI



Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH merakamkan penghargaan tertinggi kepada Tun Dr Mahathir Muhammad yang telah memimpin dengan cemerlang bersama rakan-rakan parti Pakatan Harapan hingga berjaya melakukan perubahan politik tanah air yang bersejarah.

Demi meletakkan politik negara dalam keadaan stabil serta pelaksanaan terancang dan teratur pelan transisi penggantian kepimpinan negara justeru menjaminkan penerusan legasi terbaik Tun Dr Mahathir, maka disarankan penetapan tarikh peralihan kuasa kepada Perdana Menteri menunggu Dato Seri Anwar Ibrahim.

Penetapan tarikh peralihan kuasa ini peri penting demi masa depan negara, demi menunaikan janji yang telah termeterai dan sering diungkapkan, demi kestabilan politik yang kini asyik diganggu gugat anasir serta jembalang politik, demi menghormati keputusan serta pilihan rakyat dan demi kestabilan ekonomi negara berhadapan iklim ketidaktentuan global.

Anwar Ibrahim adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , iaitu rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH), parti pemerintah sekarang ini.

Dia adalah perunding dan pendamai dalam usaha untuk membentuk pakatan politik yang berkesan dan berjaya memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018.

Anwar Ibrahim juga Perdana Menteri menunggu yang telah dipersetujui dalam perjanjian secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir dan semua rakan-rakan PH serta dia diterima secara umum oleh rakyat.

Tempat dan tanggungjawab Anwar Ibrahim adalah untuk berada di persada untuk memimpin negara ke arah kejayaan.

Anwar Ibrahim adalah seorang rakyat Malaysia, seorang Muslim yang komited, seorang Melayu, seorang demokrat dan dia berjuang untuk keadilan dan kebebasan bagi semua rakyat Malaysia, dan tidak ada sebarang masalah atau percanggahan dalam semua ini.

Anwar Ibrahim telah dengan konsisten sepanjang hidupnya sebagai seorang yang gigih berusaha serta berkorban untuk reformasi dan pembaharuan, memerangi rasuah, bekerja keras untuk akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, 

memperjuangkan politik idealisme, menekankan pentingnya moral dan etika dalam mempertahankan demokrasi serta menegakkan keadilan yang merentas bangsa dan agama, demi untuk semua rakyat Malaysia.

Anwar Ibrahim merupakan pemimpin terbaik bagi mewarisi legasi gemilang Tun Dr Mahathir. Politik perubahan memerlukan pemimpin berwibawa melaksanakan idea dan pendekatan baru serta mengemudi dan menangani cabaran pluraliti, kepelbagaian dan kemajmukan etnik serta agama bagi memacu negara pada masa depan.

Akhirkalam, Malaysia negara kita yang tercinta, amat memerlukan politik luhur yang diterajui jiwa-jiwa besar, berwawasan dan berlapang dada.

Kepimpinan unik ini ada pada sosok gandingan padu Tun Dr Mahathir dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang berupaya mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan setia dalam mengutamakan matlamat lebih tinggi iaitu Malaysia yang berjaya.

AHMAD AZAM AB RAHMAN
Presiden
20 Feb 2020