Shahbudin Hussein
Ada orang nasihatkan saya agar jangan kuat sangat hentam Mahathir, nanti katanya, ramai akan simpati kepadanya.
Jawapan saya beginilah - kenapa Najib Razak dapat kita kalahkan?
Salah satu sebabnya, bagi saya ialah kerana kita sentiasa menghentam dan membalunnya daripada setiap sudut sejak sebelum PRU13 lagi.
Saya sendiri sempat menerbitkan 6 buah buku dan menulis beribu-ribu artikel mengenai beliau.
Ramai lagi yang turut melakukan perkara yang sama.
Maka, begitu juga dengan Mahathir sekarang. Oleh kerana beliau kian ternampak tidak jujur terhadap janji peralihan kuasa dan berbelit-belit dalam berkata-kata, Mahathir juga wajar dihentam atas sikapnya itu.
Tetapi, saya tidak akan menghentamnya secara membuta tuli, sebaliknya berdasarkan fakta, dari sudut politik dan logik yang boleh diterima akal.
Bagi saya, oleh kerana Mahathir mula menunjukkan sikap menyeleweng daripada perjanjian, rakyat wajib disedarkan bahawa sikapnya itu adalah bertentangan dengan semangat reformasi serta menjurus ke arah menghancurkan PH yang telah meletakkannya sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.
Berjaya atau tidak, kita hanya bertawakal kepada Allah.
Tetapi, usaha memberi kesedaran itu mesti dilakukan kerana kalau tidak ada usaha, sudah tentu tiada kejayaan sama sekali.