Azmin bawa pemimpin Pas jumpa Tun M – Ezam
Kekerapan pertemuan pemimpin Pas dan musuh politik nombor satu mereka Tun Mahathir sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab.
Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor semalam mendedahkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali adalah dalang yang ‘merapatkan’ pemimpin kanan Pas bersama Dr Mahathir
Dakwa Ezam, bukan sahaja pertemuan dengan pemimpin Pas dan pimpinan pembangkang lain, timbalan presiden PKR itu juga terlibat dalam banyak gerakan bagi menghalang presiden parti, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
“Saya ke Shah Alam 2-3 hari lepas, Azmin bawa Dr Samsuri (Mokhtar) menteri besar Terengganu jumpa dengan Dr Mahathir sekali atau 2 kali.
“…orang tanya saya mana awak tahu. Hari ini saya beritahu, saya tahu sebab Azmin bagi tahu saya, malah Azmin bagi tahu saya lebih banyak daripada itu, tapi saya simpan dulu,” katanya dipetik dalam siri ceramah jelajah Ezam di Sungai Buloh, semalam.
Sebelum ini, dalam ceramah di Negeri Sembilan Ezam berkata seorang “pemimpian kanan” PKR menjadi orang tengah dalam pertemuan pemimpin Pas dengan Mahathir di London.
Beliau juga mendakwa Azmin merupakan individu yang memulakan langkah merosakkan proses peralihan kuasa antara Mahathir dengan Anwar.
Dalam perkembangan sama Ezam turut mendakwa gerakan Kongres Maruah Melayu juga merupakan satu percubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Program itu katanya, yang dihadiri Azmin turut dihadiri Mahathir dan pemimpin pembangkang , lain termasuk Umno dan Pas.
“Dia mula main dengan Kongres Maruah Melayu. Main dengan isu agama, isu kaum. Sebagai perdana menteri dia (Mahathir) luluskan, angkat tangan sebelah kanan Hadi, belah kiri Annuar Musa, tapi ,Anwar Ibrahim tak dijemput. Apakah Anwar bukan Melayu?
“Bab cerita Melayu, panggillah Anwar, tapi tak panggil. Anwar tetap tak gelabah, dia tak berganjak. Malah dia sebut, saya tidak akan berganjak daripada perjuangan reformasi dan tidak akan tunduk kepada permainan politik kaum sempit yang akan mengalihkan fokus kita untuk melakukan reformasi melawan kelompok elit, rasuah dan menyeleweng,” katanya.