Kecuali jika Tun Mahathir Mohamad dengan rela hati menetapkan tarikh peralihan kuasa dalam waktu terdekat ini atau Majlis Presiden PH yang berjaya berbuat demikian, barulah kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 boleh dikira sudah terjamin.
Selagi tiada tarikh khusus untuk naik pelamin, selagi itulah janji bulan madu dalam pertunangan belum tentu membawa ke gerbang perkahwinan.
Ditambah dengan ura-ura Tun Mahathir bakal meninggalkan PH dan membawa lari kerajaan sedia ada dengan menubuhkan Pakatan Nasional bersama UMNO dan Pas, janji peralihan kuasa ternampak semakin kabur jadinya.
Semua ini memperlihatkan Tun Mahathir tidak pernah ikhlas mahu mengotakan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
Kalau Tun Mahathir benar-benar ikhlas dan berpegang kepada janji, tiada sebab untuk beliau terus menangguh-nangguhkan janji peralihan kuasa yang beliau sendiri setuju mengenainya sejak awal lagi.
Maka, dalam hal ini apakah tujuan sebenar Tun Mahathir bersama PH sejak sebelum PRU14 lagi?
Apakah benar-benar untuk menyingkirkan Najib Razak?
Atau untuk menyekat Anwar daripada mendapat laluan mudah menduduki kerusi Perdana Menteri lantaran yakin PH berpotensi untuk menang PRU14 berikutan isu skandal 1MDB begitu membuatkan rakyat benci kepada UMNO dan BN?
Memang kita tidak tahu apa yang ada dalam hati Tun Mahathir, tetapi melihat beberapa langkah yang dilakukannya untuk berbaik dengan Anwar sehingga diterima menerajui PH, sukar untuk menolak bahawa beliau masih ada dendam tersembunyi terhadap Presiden PKR itu.
Ketika belum beroleh kuasa dan dalam proses untuk meyakinkan PH, PKR serta keluarga Anwar terhadapnya, Tun Mahathir telah berjaya menampilkan watak suci, lelaki yang insaf dan dilihat benar-benar berjuang untuk menyelamatkan negara.
Dengan auranya sebagai bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, lebih-lebih lagi sudah mencecah usia 93 tahun ketika PRU14 diadakan, ramai yang jadi terpesona dengan kesanggupannya terus berjuang menyelamatkan negara ini.
Hakikatnya, sedar tak sedar, dalam terpesona itu, lebih ramai yang terpedaya dengan zahir yang ditunjukkan di depan mata dan perkara itu semakin disedari menjelang hampirnya janji peralihan kuasa mahu dikotakan.
Ketika menunggu mengangkat sumpah jawatan yang majlis itu dilengah-lengahkan beberapa jam, ketika itu juga ramai yang simpati dengan kesabarannya sehingga hampir-hampir tercetus tunjuk perasaan jika perlengahan angkat sumpah berterusan lagi.
Belang sebenar beliau hanya mula terserlah beberapa hari selepas menjadi Perdana Menteri.
Selain beberapa tindakan pentadbiran yang menjurus ke arah menambahkuatkan lagi cengkamannya dalam agensi penguatkuasa kerajaan, beliau turut melantik Azmin Ali yang tidak disenaraikan oleh PKR sebagai calon menteri dan pada waktu itu sudah mengangkat sumpah sebagai MB Selangor, sebagai salah seorang menteri kanannya.
Sejak perlantikan itulah PKR jadi berantakan dan berpecah sehingga sekarang, meskipun dalam masa yang sama Tun Mahathir tetap mengatakan akan menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar.
Begitu pun, kata-kata beliau mengenai janji itu sering berubah-ubah dengan terakhir mengatakan peralihan kuasa hanya akan berlaku selepas Sidang Apec pada November depan, bukan lagi Mei iaitu setelah dua tahun memegang jawatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, di sebalik tiada tarikh serah kuasa ditetapkan, di belakang tabir tetap berjalan pelbagai usaha untuk mengekalkannya lebih lama sebagai Perdana Menteri.
Beliau bukan saja menemui pemimpin pembangkang di rumahnya bagi tujuan mendapat sokongan, beberapa pihak lain yang dikaitkan dengannya juga heboh diperkatakan mengatur pelbagai strategi untuk menjadikannya sebagai Perdana Menteri yang lebih lama.
Terbaru ini, dengan timbulnya isu penubuhan Pakatan Nasional, sekali lagi ini adalah perkara yang terkait secara langsung dengan janji peralihan kuasa.
Tiada maksud lain, Pakatan Nasional ini tujuan utamanya hanyalah untuk menghalang penyerahan kuasa kepada Anwar, terutama selagi belum ada tarikh serah kuasa diputuskan.
Usaha Tun Mahathir ini mungkin berjaya dan mungkin juga akan gagal.
Tetapi, menelusuri semua renteran itu, apakah memang niatnya sejak awal bersama PH ini adalah untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri sebagaimana pernah dilakukannya ketika berkuasa dalam BN dahulu? (ShahbudinHusin 06/02/2020)