Anwar cadang peralihan kuasa selepas APEC?
Banyak pihak kurang maklum perkara sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Namun beberapa catatan telah bocor di Facebook yang mendedahkan mesyuarat berlangsung mengikut agenda yang telah dibicarakan sejak seminggu lalu, iaitu menetapkan tarikh peralihan kuasa.
Dalam catatan di FB Wfauzdin NS yang bersumberkan seorang pemimpin dalam mesyuarat berkenaan misalnya mendedahkan: “Majlis Presiden lama bersidang kerana bincang tentang wajar atau tidak tarikh itu ditetapkan selepas APEC? Majoriti bersetuju untuk penetapan tarikh tetapi Anwar sekali lagi membawa hujah bahawa sebaiknya hanya beliau dan Tun M sahaja akan berbincang bagi menetapkan tarikh sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden PH (seterusnya)”
Catatan itu sesuai dengan komen Anwar dalam sidang media ketika ditanya wartawan mengenai tarikh penyerahan kuasa, selesai mesyuarat.
“Pendirian kita jelas. Tak ada keraguan. Comitment kita untuk mempastikan Tun Mahathir selaku perdana menteri dapat menjalan tugas dengan dukungan yang penuh. Itu kita tidak persoal.
“Kemudian dalam perbincangan tentang yang berikutnya kita serah, saya sendiri cadang, supaya Tun Mahathir diberikan ruang mentadbir. Kemudian bila dia tetapkan masa yang sesuai, yang itu, barulah (peralihan kuasa). Sementara itu saya kena sabar,” katanya.
Jawapan Anwar itu diakui kesahihannya oleh sumber-sumber dalaman yang hadir dalam mesyuarat, sama ada dari PKR mahu pun Bersatu. Sumber juga memberitahu mesyuarat tidak langsung membangkitkan isu Akuan Berkanun (SD) – yang dimainkan media – bahawa Tun telah memperolehi tandatangan 138 ahli parlimen yang menyokongnya dan tidak perlu menyerahkan kuasa.
Sumber turut mengesahkan mesyuarat dipanjangkan sehingga jam 11.00 malam kerana majoriti pimpinan mahu satu tarikh khusus pengunduran Tun diputuskan agar mematikan agenda kerajaan ‘pintu belakang’. Namun Anwar menolak tarikh tertentu diputuskan.
Cuma penyokong Anwar agak kurang senang dengan kalimat Tun Mahathir menyatakan ‘terpulang kepada beliau sama ada mahu melepaskan atau tidak jawatan’.
Hal itu lebih kepada menyindir media yang sering menghangatkan isu penyerahan kuasa tanpa henti sejak bermulanya isu pembentukan Pakatan Nasional yang diusahakan pemimpin Pas.
Apa pun, yang pasti mesyuarat malam tadi menolak usul seorang menteri kanan agar Tun kekal sebagai PM sehingga akhir penggal. Usul tersebut ditolak oleh majoriti pemimpin. Malah didakwa seorang presiden parti komponen mengecam isu itu ditimbulkan.
Dengan itu, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari telah memutuskan dengan jelas tempoh Tun Mahathir memimpin Malaysia adalah sehingga November 2020. Tarikh selepas itu bermulalah proses peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.