PKR hadapi cabaran dalaman sukar – Sim Tze Tzin
Menjelang Presiden PKR Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri ke 8, pergolakan dalaman parti itu adalah isu yang paling sukar untuk ditangani, kata pengarah strateginya Sim Tze Tzin
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian berkata, berdepan tugas sukar menghadapi konflik yang berlaku dalam parti.
Katanya, peranan utamanya sebagai Pengarah Strategi adalah untuk menguruskan perbezaan pendapat antara pemimpin dan ahli bagi memastikan parti tersebut kekal bersatu dan kuat.
Terdapat dua puak dalam PKR, satu penyokong Presiden Anwar Ibrahim dan satu lagi penyokong kepada pemimpin nombor dua parti, Mohamed Azmin Ali.
“Saya tidak menafikan kami berdepan masalah dalaman yang perlu diatasi. Tugas saya kini lebih berat berbanding sebelum ini, kerana kami kini menjadi kerajaan dan parti mempunyai masalah perpecahan dan sebagainya,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, katanya kewujudan masalah berpuak-puak di dalam parti adalah perkara biasa, sambil menambah Umno juga mempunyai masalah yang sama pada masa lalu.
Sim, yang juga ahli Parlimen Bayan Baru menekankan kepentingan menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan menjadi keutamaannya untuk tidak membiarkan ia memberi kesan kepada kerajaan.
Beliau berkata perlu berkomunikasi dengan semua pihak untuk memastikan mereka mengetepikan perbezaan pendapat agar semua ahli boleh bekerjasama untuk mengukuhkan parti.
Sim menambah, ia juga penting bagi kerajaan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai tindakan dan dasar baik yang telah dilaksanakan memandangkan ramai tidak berpuas hati.