PH kalah lagi: Tun Mahathir wajib letak jawatan
ULASAN: Keputusan pilihan raya kecil Kimanis, Sabah amat memalukan Pakatan Harapan (PH). Parti sekutu PH, Warisan yang pada pilihan raya umum (PRU) 14 lalu mendapat kepercayaan besar rakyat dan menang hampir separuh kerusi DUN Sabah tiba-tiba dimalukan dengan kalah 2,000 undi, walaupun meletakkan calon berpengalaman dan popular, Datuk Karim Bujang.
Apakah punca kekalahan luar biasa ini? Politik Sabah sering didominasi personaliti. Karim Bujang lima penggal menjadi ADUN dan banyak jasa kepada penduduk.
Alasan tak bertanggungjawab
Mungkin mudah bagi Tun Mahathir memberi alasan kononnya rakyat Sabah tidak melihat pembangunan yang dibawa Warisan secara keseluruhan kerana itu Karim ditolak. Namun apakah pembangunan yang dibawa BN kepada Sabah selama puluhan tahun? Sepatutnya rakyat menolak BN bukannya Warisan. BN sepatutnya dikuburkan, bukannya diberi peluang membina semula pengaruh.
Pas Sementara Sabah (PSS) dijadikan alasan mudah punca kekalahan. Kaum KadazanDusun Murut terpengaruh dengan tohmahan kononnya lebih banyak pendatang akan mendapat kewarganegaraan di bawah PSS. Sedangkan polisi itu lebih baik berbanding era BN. Ternyata penerangan PH mahu pun Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak mampu menghuraikan kebaikannya secara berkesan kepada rakyat.
Dalam hal ini Dr Mahathir wajar dipersalahkan secara mutlak kerana tidak merombak kabinet dan menggugurkan menteri KKMM Gobind Singh Deo. Sewajarnya menteri Melayu yang lebih faham komunikasi sesama Melayu dilantik memegang jawatan tersebut.
Kurangnya propaganda mengenai perkara yang dibuat PH di Sabah menyebabkan rakyat menolak Warisan. Hal itu mungkin boleh diterjemahkan daripada petikan dialog antara bakal pengundi dan kalangan jurukempen PH.
Jurukempen PH memberitahu kebayakan pengundi Warisan kecewa kerana parti itu sudah bergabung dengan Bersatu. Mereka yang tidak percayakan Mahathir kerana projek IC dan sebagainya melihat rakyat Sabah telah dikhianati Warisan.
Misalnya, apabila pengundi ditanya bukankah kerajaan PH dan Warisan banyak membantu maka pengundi menjawab:
“Manaaaaa!!!!! Indak ada pun bantuan. Hari-hari kami melihat Najib yang banyak jumpa rakyat di pesbok..mana ada kerjaan baru bantu rakyat, indak ada disebut sebut dalam pesbok.”
Dialog ini membayangkan rakyat tidak nampak apa yang dibuat Warisan. Walaupun Warisan dan PH telah memberi bantuan namun hebahan tidak mencukupi, terutama oleh tentera siber pro PH di media sosial.
Perjanjian Malaysia dikhianati
Polisi pusat yang mengkhianati manifesto PRU 14 menambah parah keadaan. Misalnya penduduk sabah mahukan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) direalisasikan dengan memberi lebih banyak peruntukan. Peruntukan pada era BN diberi sebanyak RM20 juta. Namun pada era PH hanya RM50 juta.
Adakah pertambahan itu mengikut MA63? Seharusnya peruntukan melepasi angka ratusan juta ringgit. Jika itu berlaku maka PH akan dihormati kerana menunaikan janji. Mengapakah PH terlalu kedekut untuk memberi peruntukan. Jika tidak mempunyai wang sekali pun maka berikan kepada Sabah sahaja kerana ia negeri sekutu PH. Sarawak biarlah dalam keadaan sedia ada kerana bersikap melawan persekutuan.
Kekecewaan kerana lambat mendapat pembelaan ini menyebabkan peribumi protes dan memenangkan BN
Salah Mahathir
Dalam hal ini Dr Mahathir perlu menerima tanggungjawab penuh dan dipersalahkan. Sekiranya beliau tidak berdegil mahu mendahulukan pemikiran peribadinya melebihi manifesto PH maka keadaan akan lebih baik. Sikap berdegil Mahathir menyebabkan pemimpin tertinggi Amanah dan DAP turut sama berlengah-lengah melaksanakan agenda perubahan dengan alasan kurang kewangan.
Namun mereka masih punya kewangan meneruskan projek mega era BN yang tidak mendatangkan hasil seperti membina bangunan di kawasan TRX dan Bandar Malaysia yang menguntungkan elit politik PH sahaja.
Sekiranya dana untuk pembangunan itu dialihkan ke Sabah atau kawasan yang dimenangi PH di Semenanjung pastinya keputusan PRK akan lebih baik terutama di kawasan yang PH telah menang. Rakyat akan melihat perbezaan kemudahan awam di kawasan yang dimenangi PH berbanding pembangkang.
Jika perbezaan itu pun tidak boleh ditunjukkan maka tidak ada gunanya mereka memangkah PH lagi. Turunnya peruntukan akan mendamaikan hati pengundi Melayu misalnya, yang mana ditakut-takutkan dengan kehilangan hak ketunanan. Bila kehidupan mereka lebih baik berbanding era BN maka tidak ada masa untuk memikirkan kehilangan hak. Untuk apa hak dijanjikan Umno tetapi hidup susah. Mereka juga akan membuka mata bahawa Ketunanan Melayu itu hanya mitos kerana tanpa Umno hidup Melayu lebih baik.
Namun peluang untuk PH membuktikan hal itu tidak berlalu kerana peruntukan direbut oleh elit ekonomi dan politik yang mahu projek-projek untuk kepentingan peribadi.