PERALIHAN KUASA JADI MASALAH KERANA MAHATHIR YANG SALAH



Semalam, Anwar Ibrahim meminta pimpinan PH tidak lagi membincangkan soal peralihan kuasa secara terbuka.

Katanya, memandangkan Tun Mahathir Mohamad telah berulangkali menyatakan komitmen menjayakan peralihan kuasa sebagaimana yang dipersetujui PH, semua pihak seharusnya menghormati perkara itu.

Susulan itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga menyeru semua pihak dalam PH agar tidak terlalu obses dengan peralihan kuasa, sambil itu menghormati permintaan Anwar yang mahu isu berkenaan tidak lagi dibicarakan secara terbuka.

Berikutannya, Lim Guan Eng turut menyatakan bahawa Majlis Presiden PH akan membuat keputusan berkenaan tarikh peralihan kuasa itu pada masa yang sesuai.

Pendirian Guan Eng ini nampak berbeza dengan kenyataannya sebelum ini yang mengatakan Majlis Presiden PH tidak perlu mengadakan mesyuarat dalam kadar segera bagi membincangkan peralihan kuasa itu.

Ini kerana, katanya, Tun Mahathir sudah pun menyatakan kesediaan akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas Sidang Apec pada November depan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam nada yang membuatkannya dikritik ramai, telah membangkitkan soal gangguan kepada perjalanan kerajaan jika isu peralihan kuasa terlalu kerap dimainkan.

Jika kita imbas kembali sejak 10 Mei 2018, banyak lagi kenyataan-kenyataan daripada pelbagai pimpinan PH berkaitan peralihan kuasa ini.

Ini tidak termasuk lagi dengan suara yang langsung jauh berbeza dan terkeluar tajuk, khususnya daripada kalangan Bersatu yang tidak malu-malu bersuara mahu Tun Mahathir dikekalkan sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Adakah mereka sedar bahawa menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal tidak pernah sama sekali menjadi tajuk perbincangan dalam PH kerana semua sedar beliau hanyalah Perdana Menteri sementara Anwar memenuhi syarat serta kelayakan untuk menggantikannya?

Kesimpulan mudahnya, isu peralihan kuasa inilah yang paling banyak diperkatakan, bukan saja dalam PH, tetapi juga dalam masyarakat umum.

Bahkan, Tun Mahathir sendiri boleh dikata paling banyak bercakap soal peralihan kuasa dengan nada yang berbeza-beza serta tidak konsisten berbanding soal lain seperti ekonomi, kesejahteraan rakyat dan seumpamanya.

Maka, setelah ia menjadi makanan harian politik sejak hampir dua tahun lalu, bolehkah tiba-tiba mahu dihentikan atau kita diminta jangan lagi bercakap mengenainya?

Lebih daripada itu, siapa sebenarnya yang salah sehingga isu peralihan kuasa terus menjadi santapan perbualan?

Secara jujur dan berterus-terang, semuanya adalah salah Tun Mahathir dan peralihan kuasa ini tidak akan menjadi masalah jika beliau benar-benar ikhlas serta tidak berbelit-belit dalam berkata-kata.

Kalau daripada awal lagi beliau sentiasa berpegang kepada janji asal hanya mahu dua tahun menjadi Perdana Menteri - tidak mengubah-ngubahnya kepada mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang; mungkin dua tahun setengah jika Anwar beri izin; mungkin tiga tahun; sehingga ekonomi pulih dan terbaru sehingga Sidang Apec pada November depan; isu peralihan kuasa tidak akan menjadi masalah seperti hari ini.

Ia jadi masalah kerana Tun Mahathir yang selalu berubah-ubah dan tidak konsisten terhadap janji yang dibuatnya sendiri.

Untuk itu, mulai sekarang, ada baiknya jika Tun Mahathir tidak lagi bercakap dengan nada yang berbeza-beza berkenaan peralihan kuasa yang sudah dijanjikannya itu.

Jika daripada mula mengatakan mahu serah kuasa dalam tempoh dua tahun, sentiasalah berpegang kepada  janji tersebut.

Ibaratnya, kalau janji nak bayar hutang dalam tempoh dua tahun, walaupun tiada perjanjian bertulis, bayar sajalah bila sudah cukup tempoh itu.

Tetapi, bila liat dan berdalih-dalih, memanglah ia akan jadi masalah akhirnya.

Dan untuk makluman Tun Mahathir, berpegang kepada janji juga adalah sebahagian daripada disiplin dalam kehidupan yang selalu ditekankannya merupakan satu ciri penting manusia yang baik dan dihormati. (ShahbudinHusin 23/01/2020)