N Sembilan tawar RM10,000 beri maklumat pencemaran
Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan RM10,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sahih kes pencemaran alam sekitar yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab di negeri itu sehingga mencemarkan sungai di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata dua kejadian itu ialah pencemaran Sungai Anak Air Garam, Mambau pada 9 Dis lepas dan pembuangan sisa buangan terjadual di Kampung Belihoi, Mantin pada 25 Dis.
“Pemberi maklumat akan diberi ganjaran sebanyak RM10,000 bagi kes-kes berkenaan oleh kerajaan Negeri Sembilan.
“Pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengumumkan pada Isnin lepas mengenai pemberian ganjaran di bawah Seksyen 49B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga tertangkapnya pelaku ini dan pemberi maklumat diberi perlindungan di bawah Seksyen 50A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan.
Veerapan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat sahih bagi kedua-dua kes itu boleh menghubungi JAS Negeri Sembilan di talian 06-764 9017 atau 010-3639017 atau hotline JAS di talian 1800 88 2727. – RF8 Media