Menteri Pertanian turun padang, tubuh pasukan urus krisis
Sebuah pasukan petugas yang bertanggungjawab melaksanakan pengurusan krisis dan bencana berkaitan pertanian di seluruh negara bakal ditubuhkan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu bagi memastikan kementerian dapat bertindak dengan berkesan untuk membantu petani, pesawah dan penternak sekiranya berlaku bentuk bencana.
“Pasukan petugas ini akan memfokuskan kepada persiapan-persiapan awal atau ‘early warning system’ yang akan diwujudkan dengan lebih cekap dan berkesan.
“Kita juga perlu lebih bersedia dengan lebih awal supaya kita dapat mengandaikan bilakah kemungkinan-kemungkinan yang berlaku bencana,” katanya.
Beliau sebelumnya menghadiri majlis penyampaian bantuan tabung bencana tanaman padi kepada peladang Kawasan Muda di Kodiang, Kedah.
Menurut Salahuddin lagi, pasukan itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Zainal Azman Abu Seman.
Bagi memastikan pasukan itu dapat berfungsi lebih berkesan pula, ia akan berkolaborasi dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kementerian bercadang melakukan pembenihan awan susulan musim kemarau yang melanda negeri ini dan Perlis, Salahuddin berkata peruntukan untuk tujuan itu memang telah disediakan.
Menurutnya, kementerian sedia maklum mengenai kegusaran petani mengenai bekalan air untuk pertanian, namun beliau menjelaskan atas nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia pembenihan awan tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana keadaan awan yang tidak sesuai.
“Peruntukkan memang kita sudah ada tetapi keadaan awan itu tidak sesuai dan kalau kita buat (pembenihan awan) juga ia akan membazir, jadi kita menunggu awan yang sesuai,” katanya.