Kekalkan keharmonian, jangan ekstrem – Anwar
Rakyat Malaysia digesa dapat mengekalkan keharmonian dan sekaligus membantu mengurangkan ketegangan dalam isu-isu melibatkan kaum dan agama yang timbul di negara ini.
Gesaan itu dibuat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan timbul satu isu yang diperbesarkan sehingga berisiko melaga-lagakan rakyat Malaysia.
Tegas Anwar, rakyat sewajarnya tidak bersikap terlalu ekstrem dalam sesuatu isu sehingga boleh mencetuskan perbalahan.
“Secara umumnya kita harus bantu menyederhanakan sikit (keadaan) kerana kadang kadang, misalnya (dalam isu) tulisan Jawi, reaksi yang melampau pun tidak elok juga,” katanya.
Anwar sebelumnya mengulas isu perhiasan dipasang sempena sambutan Tahun Baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong 1.
Isu perhiasan itu dibangkitkan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa ibu bapa pelajar merasakan ia satu percubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain terhadap murid Islam.
Khairul Azam mendakwa hiasan itu melanggar Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang berkenaan Islam sebagai agama persekutuan.
Bagaimanapun difahamkan, hiasan bunga dan tanglung itu dihiasi bersama tulisan “Selamat Tahun Baru Cina” dan karakter tulisan Cina yang bermaksud “musim bunga”.
“Dalam hal yang sama, ini sambutan tahun baru Cina. Kita sebagai warga Malaysia, termasuk saya, ucapkanlah ‘selamat tahun baru’ (dan ucapan lain seperti) ‘Xinnianhao’ (semoga hari-hari di tahun baru baik), dan bagi mereka (masyarakat Cina) gembira,” katanya Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson.
Untuk rekod, sambutan tahun baru Cina ialah sebuah perayaan kebudayaan, dan bukannya agama. – RF8 Media