Hari ini, 1 Januari bermulalah lembaran baru tahun 2020 di hadapan kita.
Menoleh ke belakang, pada awalnya ketibaan 2020 ini adalah detik di mana kita sepatutnya menyambutnya dengan penuh gembira kerana Malaysia telah ditargetkan akan muncul sebagai sebuah negara yang maju.
Malangnya, Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada 1991 setelah berakhirnya Dasar Ekonomi Baru atau DEB pada 1990, telah gagal mencapai matlamatnya.
Tun Mahathir sendiri mengakui kegagalan itu, lalu setelah berpeluang menjadi Perdana Menteri sekali lagi pada 2018, bellau telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) pada 2019 yang lalu.
Melalui WKB 2030, sasaran untuk mencapai negara maju dianjakkan lagi selama 10 tahun iaitu sehingga tahun 2030.
Oleh kerana gagalnya Wawasan 2020 itu, bermakna tiada apa-apa yang patut kita bergembira menyambut datangnya tahun baru 2020 ini.
Malah, dengan pelbagai isu yang mencengkam kehidupan rakyat sejak PH menjadi kerajaan, ketibaan tahun 2020 boleh jadi menandakan bertambah getir dan peritnya lagi laluan kehidupan di mana yang paling menjadi tumpuan ialah ekonomi yang perlahan dan tidak berkembang serta janji manifesto yang tidak ditunaikan.
Kegagalan menguruskan dua hal tersebut iaitu ekonomi dan janji manifesto sedikit sebanyak telah menyebabkan sokongan rakyat kepada PH kian menurun hari demi hari, walaupun sebelum PRU14 sokongan begitu tinggi sekali.
Harapan rakyat sudah banyak yang lebur dan musnah melihatkan kegagalan itu, tetapi dalam masa yang sama, menteri-menteri, termasuk Perdana Menteri sendiri tetap sibuk berjalan dan bercuti ke luar negara, sambil menikmati gaji serta elaun puluhan dan ratusan ribu setiap bulan.
Seolah-olah dalam tempoh 19 bulan yang sudah berlalu, yang berubah senang hanyalah hidup menteri-menteri dan juak-juak mereka saja, sementara keistimewaan rakyat lebih banyak yang dipotong atau ditiadakan, sambil peluang kerja atau perniagaan makin menyempit lagi jadinya.
Mendepani semua itu, sambil menoleh ke belakang sekali lagi sejak PH menjadi kerajaan, seperkara lain pentingnya tahun 2020 ini adalah kerana ia juga merupakan tahun peralihan kuasa Perdana Menteri.
Sebagaimana yang dijanjikan sendiri oleh Tun Mahathir dan difahami oleh pengundi yang memenangkan PH pada PRU14 lalu, Mei 2020 ini sepatutnya berlaku penyerahan jawatan kepada Anwar Ibrahim setelah Perdana Menteri memegang jawatan tersebut selama dua tahun lamanya.
Meskipun Tun Mahathir baru-baru ini menyatakan peralihan kuasa akan berlaku selepas Sidang APEC di Kuala Lumpur pada November 2020, katalah jika Anwar dan Majlis Presiden bersetuju dengan permintaan perlanjutan itu, penyerahan jawatan tetap wajib dilakukan tidak melepasi Disember 2020.
Selain pemulihan ekonomi dan menunaikan janji manifesto, peralihan kuasa adalah perkara ketiga yang paling dinanti-nanti dan dikehendaki oleh rakyat sebenarnya.
Lebih-lagi lagi selepas 19 bulan menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tidak menampakkan banyak kemajuan dari segi memberi lebih kebaikan dalam kehidupan rakyat, malah dilihat lebih sibuk kepada aspek politik peribadi semata-mata, maka ramai yang tidak ragu-ragu menyorotinya sebagai telah Perdana Menteri yang gagal.
Lantaran telah gagal itu, melanjutkan lagi keberadaannya di kerusi Perdana Menteri hanya akan menambahkan lagi kegagalan, malah menjadikan derita dan seksa rakyat lebih berpanjangan.
Faktor usia dan keghairahan kembali kepada era PM4, sedangkan dunia sudah banyak berubah dan kini bukan lagi era BN, adalah antara faktor penyumbang kepada kegagalan Tun Mahathir dalam tempoh 19 bulan ini.
Dengan demikian, jika PH mahu terus mendapat sokongan dan ingin memenangi lagi PRU seterusnya, peralihan kuasa tidak dapat tidak, mesti dilaksanakan pada 2020 ini.
Hanya dengan adanya perubahan, berlaku peralihan kuasa dan munculnya Perdana Menteri baru, maka barulah PH mampu bergerak ke hadapan dengan langkah meyakinkan sebagai sebuah kerajaan.
Baik Majlis Presiden atau Tun Mahathir, jika masih komited dengan mandat yang diberi rakyat pada 2018 lalu serta mahu PH kekal sebagai sebagai kerajaan, janganlah lupa atau buat-buat lupa bahawa tahun 2020 adalah tahun peralihan kuasa yang tidak boleh lagi ditangguh atau dilengah-lengahkan. (ShahbudinHusin 01/01/2020)