BN tiada idea hadapi PRK Kimanis
Parti Pembangkang, Barisan Nasional (BN) didakwa cuba menutup kegagalan mereka membawa pembangunan ke Sabah sebelum ini dengan memanipulasi isu Pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS), kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata sejak sekian lama, kerajaan BN yang pernah menerajui Sabah gagal menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik kepada penduduk negeri itu.
“Mereka (BN) kata Warisan ini parti pendatang tanpa izin (PTI), tetapi mereka tidak boleh cerita isu pembangunan, mereka juga tidak boleh cerita isu sekolah, kerana apa, kerana mereka telah perintah 50 tahun (di Sabah) dan mereka gagal.
“Mereka guna (isu) PTI untuk ambil (raih) undi, dan kasi pecah (perpaduan) orang Sabah …supaya (kita) gaduh sesama orang Sabah,” katanya ketika berkempen bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam.
Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.
PPS itu antara lain diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.