HIMPUNAN YANG GAGAL.



Saya hadir untuk mendengar sendiri amanat Tun Mahathir dalam Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Tertutup Shah Alam pada hari ini.
Bagi saya, kongres ini telah gagal menaikkan semangat dan maruah orang-orang Melayu tatkala pemimpin-pemimpin Melayu tidak kira ideologi dan kecenderungan bersusah payah hadir untuk mengharapkan sesuatu yang positif dari kongres ini.
Malangnya, kami hanya datang untuk ‘menadah telinga’ mendengar ucapan Tun Mahathir yang hanya merendah-rendahkan bangsa Melayu.
Saya kesal kerana resolusi-resolusi yang diketengahkan pada kongres kali ini tidak diendahkan langsung oleh Tun.
Pihak universiti dan tokoh-tokoh akademik sudah bersusah payah melakukan pelbagai sesi meja bulat dan kajian dalam satu tempoh masa yang agak panjang. Malangnya, semua ini adalah sia-sia dan seolah-olah tiada nilai kerana bukan sahaja Tun tiba lewat dan tidak mendengar resolusi-resolusi tersebut, tetapi dihina pula bangsa Melayu.
Tun Mahathir jelas sekali cuba merendah-rendahkan dan melemahkan semangat orang Melayu dengan retorik basi yang sebenarnya menconteng mukanya sendiri. Sebenarnya, banyak perkara yang diungkit bagi menyalahkan bangsa Melayu sebenarnya disebabkan dirinya sendiri.
Kami yang hadir, malah yang tidak hadir juga mengharapkan kongres ini menjadi platform perpaduan Melayu yang lebih besar kerana pemimpin-pemimpin Melayu dari blok kerajaan turut hadir bersama. Malangnya, semua ini hancur begitu sahaja.
Kesimpulannya, orang Melayu sekali lagi dipermain-mainkan. Malah, maruah bangsa Melayu semakin tercalar dan terhina.
Kongres ini telah GAGAL mencapai objektifnya.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi UMMAH / Presiden ISMA
6 Oktober 2019


TANGGUH PERLAKSANAAN BUKAN REMEH MANIFESTO

PELUPUSAN ASET KHAZANAH LANGKAH STRATEGIK BIASA – DR BARJOYAI

JAUHI ISU KAUM, TUMPU ISU KEMISKINAN – ANWAR

Kerajaan PH sambut baik ABM hentikan caj transaksi mesin, kaunter



Kementerian Kewangan menyambut baik kesediaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menghentikan caj transaksi yang dikenakan bagi penggunaan cek dan bayaran tunai untuk pembayaran kad kredit serta pembiayaan melalui kaunter dan mesin deposit tunai (CDM).

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tindakan ABM menerima baik saranan kementeriannya serta orang ramai berhubung caj berkenaan wajar diberikan pujian. 

“Caj urus niaga tersebut mula dikenakan pada Disember 2017 bawah pentadbiran kerajaan terdahulu bagi mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran. 

“Namun, caj tersebut membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada internet untuk menjalankan perbankan atas talian, dan secara mudah alih,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Penghentian caj yang berkuatkuasa semalam itu, kata Guan Eng menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan. 

“Pada masa yang sama, ABM menunjukkan bahawa mereka tidak obses dengan mengaut keuntungan daripada yuran dan caj tersebut dengan memansuhkannya untuk kali pertama sejak diperkenalkan pada tahun 2017,” 
katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Semalam, 26 bank di bawah ABM bersetuju untuk menghentikan caj 50 sen bagi mesin pengeluaran tunai (CRM) dan mesin deposit cek (CQM) dan RM2 bagi bayaran transaksi di kaunter. 


MASIH ADAKAH MARUAH KONGRES MARUAH MELAYU ESOK?



Esok akan berlangsung Kongres Maruah Melayu di Shah Alam yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebagai pemberi amanatnya.

Walaupun kongres tersebut dianjurkan oleh empat universiti, tetapi dalang di belakang tabirnya ialah beberapa bekas pemimpin UMNO yang telah melompat parti menyertai Bersatu.

Menurut sumber, mesyuarat awal berkaitan kongres itu mula-mula dipengerusikan oleh Mustapha Mohamad, Ahli Parlimen Jeli, sebelum kemudian diambil alih oleh Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut.

Kedua-dua mereka ini adalah bekas menteri UMNO yang hilang jawatan setelah tumbangnya BN pada PRU14 lalu dan barangkali kerana tidak ada keselesaan hidup sebagai pembangkang, lantaran biasa sebagai kerajaan yang percuma di sana sini, lantas mereka kemudian menyertai Bersatu.

Dalam hal ini, soalan pertama, di mana maruah Kongres Maruah Melayu ini jika dalang di belakang tabirnya pun dianggap tidak bermaruah dari segi politik?

Menggunakan nama universiti pula, selain untuk melindungi wajah dalang sebenar agar rakyat dapat dikaburi, tujuan lainnya ialah untuk memastikan dewan dipenuhi dengan hadirin yang ramai jumlahnya.

Sudah tular di media sosial berkenaan arahan wajib hadir kepada penuntut di universiti berkenaan menghadiri kongres tersebut, malah disebut juga kehadiran mereka akan turut diambil pada esok hari.

Oleh itu, bukan berapa ribu orang yang hadir ke kongres itu yang menjadi penantian pada hari esok, sebaliknya berapa ratus buah bas yang akan didapati bersusun di sekitar Stadium Malawati itu?

Jadi, soalan kedua, apa bendanya nak bincang soal maruah Melayu kalau yang hadir pun terpaksa diangkut, bahkan dipaksa dan mungkin perlu diberi sedikit wang saku?

Selain itu, kongres esok tidak lain ialah untuk membodek Tun Mahathir dengan gambaran menakut-nakutkan beliau kesan daripada penyatuan ummah UMNO dan Pas, baru-baru ini.

Oleh kerana difahami yang akan mati dulu dalam PRU akan datang akibat penyatuan ummah UMNO dan Pas ini ialah Bersatu, maka sudah tentu Tun Mahathir mudah ditakut-takutkan.

Ditambah lagi, beliau juga diburu masa yang semakin suntuk untuk akur kepada janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim yang sudah dipersetujuinya sebelum ini, di samping sokongan rakyat yang makin merosot di terimanya kebelakangan ini atas pelbagai isu serta pendiriannya yang berbolak-balik membuatkan ramai lagi jadi kecewa.

Dengan itu, tidak pelik jika antara resolusi kongres esok ialah mahukan Tun Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan lebih lama lagi dengan alasan beliaulah sandaran untuk membela nasib Melayu.

Tempoh lebih lama Tun Mahathir berkuasa yang mungkin diresolusikan hakikatnya hanya untuk kepentingan peribadi dalang belakang tabir tadi semata-mata.

Pastinya, habuan jawatan atau kontrak perniagaan akan menunggu selepas ini.

Soalan ketiga, maruah Melayu atau maruah siapa yang mahu diselamatkan melalui kongres itu nanti?

Tun Mahathir yang dijemput menyampaikan amanat berkenaan maruah Melayu dalam kongres esok adalah Perdana Menteri terkumpul selama hampir 24 tahun lamanya.

Beliau menjadi Perdana Menteri atas nama UMNO dan BN selama 22 tahun dan kini memegang kuasa bersama Bersatu dan PH kira-kira setahun lima bulan.

Jika dengan peluang berkuasa selama hampir 24 tahun daripada 62 tahun negara merdeka, tetapi masih lagi mahu menjerit tentang maruah Melayu, ia dengan sendirinya bermakna kegagalan Tun Mahathir sebagai seorang Perdana Menteri.

Maka, soalan keempat, apa yang Tun Mahathir telah lakukan bagi tempoh hampir 24 tahun berkuasa selama ini dalam konteks menolong serta membantu orang Melayu?

Wajarkah dengan kuasa ada dalam tangan, tapi masih mahu berkongres bagai dengan mulut untuk memperkatakan tentang maruah Melayu?

Kuasa yang pernah dan sedang dalam genggaman sekarang digunakan untuk apa dan menolong siapa selama ini? (Shahbudindotcom 05/10/2019)