Pelupusan aset Khazanah langkah strategik biasa – Dr Barjoyai
Pelupusan aset badan pelaburan negara Khazanah Nasional Berhad merupakan langkah strategik yang dilaksanakan sejak sekian lama bagi memastikan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) itu terus berdaya maju.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata perlupusan itu sesuai dengan tujuan asal Khazanah ditubuhkan iaitu membeli saham khas diperuntukkan untuk Bumiputera yang tidak dilanggan di bursa saham.
Cuma, katanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini Khazanah telah lari daripada matlamat penubuhan dengan menyertai perniagaan yang sepatutnya diceburi oleh sektor swasta.
“Khazanah masuk sebagai wakil bumiputera membeli pegangan (saham). Itu asalnya. Kemudian hari ini, Khazanah berganjak daripada objektif asal dan menggunakan banyak keupayaan kewangan untuk membeli pelaburan yang tidak ada kaitan dengan pengapungan syarikat (di bursa saham).
“Oleh itu perlupusan saham merupakan strategi yang diluluskan Lembaga Pengarah untuk memastikan Khazanah terus berdaya maju. Jadi kalau dia nak jual sekarang maknanya itu keputusan Lembaga Pengarah,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Baru-baru ini tular isu kononnya kerajaan Pakatan Harapan mengkhianati negara kerana membenarkan Khazanah menjual aset yang dikumpulkan pada era pentadbiran Najib Razak. Hal itu dijawab kemas oleh PM Tun Mahathir bahawa penjualan aset dilakukan untuk membayar hutang yang ditinggalkan rejim Najib.
Namun begitu, Dr Barjoyai berpandangan, penjualan aset pada ketika ekonomi kurang baik dilihat tidak begitu wajar berikutan kedudukan nilai pasaran saham dan hartanah yang merosot.
“Misalnya, hari ini pasaran saham dan pasaran hartanah berada di tahap terendah. Jadi mungkin kalau Khazanah tidak memerlukan wang serta merta aset ini disimpan dulu, tunggu pasaran meningkat dan selepas kegawatan ekonomi baru jual,” katanya.
Bagaimanapun menyentuh langkah pelaburan lain, Prof Barjoyai berpandangan, misalnya penjualan pegangan 16 peratus saham IHH Healthcare Berhad (IHH) yang bernilai RM8.42 bilion kepada Mitsui & Co Ltd pada November 2018 adalah strategi yang wajar.
Katanya, dengan pelupusan itu, secara psikologinya Khazanah mencatatkan keuntungan dengan menjual saham pada kadar lebih tinggi berbanding nilai yang dicatat sekarang.
“Penjualan IHH merupakan satu langkah strategik sebab ia dijual kepada syarikat Mitsui pada kadar ratio yang sangat tinggi hampir 90 kali keuntungan semasa. 90 kali ‘earning percent’ adalah kadar gandaan yang tertinggi pernah kita lihat di pasaran Bursa Malaysia kita.
“Sekarang ini kadarnya menurun sedikit dari kadar yang kita jual hari itu. Sekarang jadi 85-84 ganda. Maknanya kita telah untung secara psikologi kerana menjual pada harga yang lebih mahal,” jelasnya.
Tambahnya, Khazanah tetap mendapat faedah menerusi dividen keuntungan berikutan masih memegang 26 peratus pegangan saham dalam syarikat hospitaliti dan kesihatan terbesar di Asia berkenaan.
“Pegangan dalam itu sangat penting. Hari ini Khazanah masih memegang 26 peratus selain Mitsui memegang saham terbesar. Namun kita masih mendapat faedah. Kalau IHH mendapat untung besar, Khazanah akan dapat dividen yang besar juga,” katanya lagi. – RF8 Media