Kebimbangan tentang kemungkinan PH kalah PRU15 akan datang bukan lagi suara yang disembunyi-bunyikan, malah sudah boleh didengari di mana-mana ketika ini.
Kalangan pimpinan PH sendiri tidak lagi takut menyatakan hakikat tersebut.
Di forum terbuka, kenyataan media, perbincangan dalam bilik mesyuarat, sembang-sembang sesama sendiri, malah apa saja ruang untuk berbicara, topik tersebut kian kerap diperkatakan di sana sini.
Semalam, Ahli MPT Bersatu, Dr Rais Hussin dalam sebuah forum di UIA tanpa berselindung menyatakan PH akan kalah mudah jika PRU diadakan dalam waktu terdekat ini.
Katanya, selain janji manifesto banyak yang tidak ditunaikan, PH didapati tidak lagi menjadi kerajaan yang mendengari suara rakyat.
Hari ini, dua Ahli Parlimen PH turut tidak menolak kemungkinan PH akan hilang kuasa dalam PRU akan datang.
Charles Santiago, Ahli Parlimen Kelang dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menggariskan dua faktor iaitu tidak menunaikan janji dan gagal melaksanakan pembaharuan asasi sebagai punca utamanya.
Kata mereka, dua faktor tersebut menjadikan sokongan rakyat kepada PH terus merudum di sebalik janji pembaharuan Malayia Baru yang dilaung-laungkan sebelum ini.
Untuk mengatasi semua itu dan agar pembaharuan lebih cepat dapat dilakukan, walaupun mungkin ada sebab-sebab lainnya, proses peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim tidak seharusnya ditangguhkan lagi melewati tempoh dua tahun.
Inilah adalah faktor paling cepat untuk menarik semula sokongan rakyat dan mengelakkan ia terus merudum.
Lebih lama Tun Mahathir duduk sebagai Perdana Menteri, percayalah, makin merudum lagi sokongan rakyat kepada PH dibuatnya.
Ini kerana Tun Mahathir dilihat banyak berdalih dalam menunaikan janji manifesto dan melaksanakan pembaharuan asasi dalam negara.
Tun Mahathir nampaknya masih terperangkap dengan gaya kepimpinan PM4 dan tidak menjiwai sepenuhnya semangat reformasi yang diperjuangkan oleh PH sejak lebih 20 tahun dahulu.
Lantaran itu, beliau tidak segan-segan menyatakan Buku Harapan bukan sebuah kitab suci serta bertangguh-tangguh dalam banyak janji yang lain atas alasan kekangan ekonomi, tetapi begitu cepat pula melaksanakan projek yang ada keghairahan peribadi kepadanya seperti projek kereta nasional ketiga.
Bagi rakyat, kereta nasional ketiga bukanlah keutamaan untuk negara berbanding PTPTN dan penghapusan tol yang dijanjikan sebelumnya.
Lebih lama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau dipercayai akan membawa negara semakin menuju era lamanya sebelum ini, walhal dunia dan persekitaran sudah banyak yang berubah.
Mahu tidak mahu, rakyat perlukan pendekatan dan keghairahan baru yang mampu ditonjolkan oleh PH.
Di sinilah pentingnya penyerahan jawatan kepada Anwar tidak lagi dilengah-lengahkan.
Anwar, berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan semasa menjadi TPM sebelum ini, diyakini mampu mencetuskan idea serta garapan baru untuk rakyat dan negara berdasarkan semangat reformasi yang sudah sebati dalam dirinya.
Hanya semangat baru ini yang mampu menyuntik keyakinan untuk PH dapat bertahan menghadapi PRU15 akan datang.
Aura Tun Mahathir mungkin diperlukan ketika menumbangkan BN dahulu, tetapi untuk mengisi kemenangan dan memberi kesegaran, negara tidak boleh dibawa menoleh ke belakang dengan gaya kepimpinan lamanya.
Perubahan dan pembaharuan adalah jawapan untuk mengelakkan kekalahan dalam PRU akan datang dan ia mesti dilakukan dengan jiwa keberanian bahawa membiarkan Tun Mahathir lebih lama menjadi PM adalah suatu kerugian, sebaliknya tokoh baru akan membawa kesegaran dan keuntungan yang mungkin tidak dinampak sebelumnya. (ShahbudinHusin 29/08/2019)